Pelantikan MB Johor sebagai ketua bahagian Bersatu Ayer Hitam untuk kuatkan parti

Pelantikan MB Johor sebagai ketua bahagian Bersatu Ayer Hitam untuk kuatkan parti
Dr Shahruddin Md Salleh

Pelantikan Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian sebagai Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Ayer Hitam yang baharu tidak bersangkut paut dengan dakwaan kononnya kerana beliau telah ditolak menerajui kepimpinan Bersatu Bahagian Pulai.

Datuk Dr Shaharuddin Md Salleh

Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Dr Sahruddin Md Salleh berkata pelantikan sebaliknya bertujuan untuk menguat dan memperkasakan lagi Bersatu di peringkat bahagian Ayer Hitam.

“Di Bahagian Pulai telah ada ketua bahagiannya tetapi di Ayer Hitam ini masih kosong dan tidak salah keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu kerana ia adalah usaha untuk menguat dan memperkasakan lagi Bersatu.

“Jadi, tidak perlulah politikkan isu ini kerana macam saya sendiri, saya merupakan Ketua Bahagian Bersatu Muar namun pada PRU14 saya bertanding di Parlimen Sri Gading dan diterima baik oleh penduduk.  Apa yang penting kita mampu membawa perubahan yang baik kepada kawasan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Setiausaha Badan Perhubungan Umno Johor semalam yang menyebut pelantikan Osman itu adalah selepas ditolak daripada menerajui Bersatu Bahagian Pulai.

Shahruddin ditemui pemberita selepas merasmikan Jelajah Operasi Khidmat Masyarakat Persatuan Mahasiswa Anak Johor (Permaj) di Kampung Baru Sri Gading, semalam.

Shahruddin berkata sepertimana kepimpinan pusat yakin bahawa Osman berupaya membawa pembangunan di Ayer Hitam, rakyat di kawasan itu juga harus mengambil sikap yang sama.

“Kita tahu komitmen dan keyakinannya untuk memajukan negeri ini. Lagipun, beliau juga Pengerusi Bersatu Johor jadi rakyat di Ayer Hitam haruslah bersyukur dan menerima pelantikan ini dengan hati terbuka,” katanya.- BERNAMA