Pelantikan MB Johor: Tiada siapa yang lebih berkuasa, kata Muhyiddin

Pelantikan MB Johor: Tiada siapa yang lebih berkuasa, kata Muhyiddin

Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyifatkan tidak seharusnya wujud pertikaian tentang siapa yang akan menentukan Menteri Besar Johor baharu.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata segala proses pelantikan yang bakal dilakukan tertakluk pada undang-undang tubuh negeri itu.

Katanya ia tidak melibatkan siapa lebih berkuasa dan kebal dalam perkara ini.

“Paling mudah jelaskan, Pakatan Harapan akan membawa nama calon untuk dikemukakan kepada Sultan Johor, dan Sultan akan membuat keputusan berdasarkan pemilihan nama yang diberi.

“Yang pasti, apabila jawatan itu kosong sama ada selepas atau sebelum Pilihanraya Umum (PRU), kita mesti cari penggantinya.

“Jadi ketua parti yang menguasai Dewan Undangan Negeri (Dun) iaitu PH yang akan mencari nama dan diputuskan Sultan. Itu lah perlembagaan yang perlu dipatuhi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas lawatan kerja rasmi di Stesen Udara Maritim Subang, hari ini.

Beliau yang juga Adun Bukit Gambir berkata, Bersatu telah menyediakan sekurang-kurangnya dua hingga tiga nama calon Menteri Besar untuk diserahkan kepada Istana Johor.