Malaysia Dateline

Pelantikan Mohd Redzuan hina ATM, perlu dibatalkan serta merta, kata bekas menteri

Bekas timbalan menteri pertahanan sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan, Liew Chin Tong menyatakan kebimbangan atas pelantikan Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof sebagai pengerusi bebas bukan eksekutif di Boustead Holdings Bhd.

Beliau mengingatkan bahawa Boustead dan anak syarikatnya Boustead Shipyard kini sedang bergelut untuk menyelesaikan projek Littoral Combat Ship (LCS) bernilai RM9 bilion yang masih terumbang-ambing.

Justeru katanya, Redzuan tidak sepatutnya dilantik kerana ketidakmampuan bekas menteri itu menyelesaikan krisis besar yang dihadapi syarikat Boustead, malah berdasarkan reputasi beliau yang mencurigakan, ia akan memburukkan lagi keadaan.

“Sebagai bekas timbalan menteri pertahanan yang memahami gerak kerja dan pentadbiran Boustead Holdings Bhd yang merupakan sebahagian daripada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), saya terkejut dan amat bimbang dengan pelantikan Mohd Redzuan.

“Pelantikan ini sebagai satu penghinaan kepada Angkatan Tentera Malaysia yang perlu dibatalkan serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Liew juga menyifatkan pelantikan Mohd Redzuan sebagai ‘scheme of things’ baharu yang tidak sepatutnya berlaku.

“Istilah ‘scheme of things’ telah digunakan oleh bekas Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yasin semasa rampasan kuasa Sheraton untuk menghalalkan pengagihan jawatan GLC demi membeli sokongan Ahli Parlimen.

“Semasa era pentadbiran PH, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu telah menyatakan dengan jelas bahawa pengurusan LTAT dan Boustead perlu diterajui pihak profesional, dan bukan ahli politik.

“Tidak seperti GLC yang lain, LTAT dan Boustead merupakan entiti unik yang mewakili kepentingan, pandangan, dan perspektif Angkatan Tentera Malaysia,” tegasnya.

Beliau menambah, semasa PH menjadi kerajaan, cita-cita gabungan itu ialah memastikan LTAT dan Boustead dapat dibangunkan sebagai pusat pelaburan industri pertahanan baharu melalui transformasi berdasarkan Kertas Putih Pertahanan.

Malangnya beliau berkata, semua ini telah dihancurkan oleh rampasan kuasa Sheraton.