Malaysia Dateline

Pelantikan Nazri tidak sah, Ku Nan masih SUA BN

Pelantikan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) tidak sah dari segi perlembagaan komponen parti pembangkang itu.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ini kerana pelantikan setiausaha agung baharu tidak pernah dibawa ke mesyuarat BN sebelum ini.

“Kita telah memformalkan pelantikan penjawat awam BN. Memandangkan dalam piagam BN secara undang-undang, apa saja keputusan yang diambil mestilah melalui konsensus.

“Jadi Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor masih lagi Setiausaha Agung BN.

“Beliau sebenarnya tidak pernah meletakkan jawatan dan tidak pernah dibawa ke mesyuarat BN berkenaan dengan pelantikan setiausaha agung baharu,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi BN di Menara Dato’ Onn, hari ini dipetik MG.

Pada 4 Mac lalu, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Presiden MIC, Tan Sri Tan Sri A Vigneswaran sepakat untuk memboikot mesyuarat Majlis Tertinggi BN hari ini jika dihadiri dan dikendalikan oleh Mohamed Nazri.

Selain itu, Ka Siong dan Vigneswaran berkata, mesyuarat itu akan mempertikaikan pelantikan Nazri sebagai Setiausaha Agung BN atas alasan tidak mengikut perlembagaan BN.

Wee dan Vigneswaran menjelaskan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pelantikan Mohamed Nazri tanpa berbincang atau disetujui oleh Dewan Tertinggi BN, sekaligus tidak mengikut fasal 8.3(D) perlembagaan gabungan itu.

Mohamad juga mengesahkan bahawa mesyuarat majlis tertinggi gabungan itu tidak dihadiri oleh Mohamed Nazri, sebaliknya diwakili oleh Setiausaha Agung BN sedia ada.

“Mesyuarat hari ini juga berjalan dengan setiausaha agung yang dihadiri oleh Tengku Adnan.

“Kita juga telah bersetuju bahawa Tengku Adnan akan terus menjadi setiausaha agung sehingga ke satu tarikh, sama ada beliau nak letak jawatan ataupun beliau diberhentikan,” katanya.

Mohamad turut mengumumkan jawatan Setiausaha Kerja Eksekutif BN tidak lagi digalas oleh Datuk Abu Khamis.

“Penjawat awam BN pun telah berganti iaitu Datuk Abu Khamis yang tidak sihat lagi dan beliau telah meletakkan jawatan

“Kita melantik Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad selaku penjawat awam iaitu Setiausaha Kerja Eksekutif BN baharu,” katanya lagi.