Malaysia Dateline

Pelantikan pengerusi MPN tidak pedulikan hasrat rakyat

Hanya beberapa hari lalu timbul persoalan dalam fikiran saya; “Adakah Muhyiddin Yassin dapat menerima kedudukannya tanpa ada jawatan dalam kerajaan? Mungkinkah beliau benar-benar mahu melepaskan jawatan Perdana Menteri untuk terus bersara? Dengan pengalaman kesihatannya, beliau mungkin  dapat menerima bahawa dengan tumbangnya kerajaan Perikatan Nasional, ia merupakan peluang baginya untuk berundur dari politik.”

Tetapi, beliau tidak ada menyatakan mahu bersara.

Seseorang Ahli Parlimen yang hendak berkhidmat pada rakyat tidak semestinya berada dalam kerajaan. Mereka mempunyai kawasan untuk diberi perhatian. Begitu juga jika mempunyai jawatan dalam parti. Selaku presiden partinya, seseorang ahli politik masih mempunyai pengaruh untuk memberi sumbangan. Tetapi banyak ahli politik mencebur bidang itu bukan kerana hendak menyumbang. Banyak kali, garisan pemisah antara sumbangan dan ketagihan kuasa sudah kelihatan memudar. Akhirnya apa yang menjadi mangsa adalah rakyat dan negara kerana dinafikan peluang untuk mendapat kepimpinan yang baik.

Persoalan ini terjawab apabila Sabtu lalu, kerajaan mengumumkan pelantikan Muhyiddin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara. Bukan itu saja, jawatannya itu bertaraf menteri. Maknanya bekas Perdana Menteri yang dipandang gagal oleh sebahagian rakyat sudah kembali dalam kerajaan. Ia pula kembali pada jawatan yang amat penting bagi negara buat masa ini. Jawatan itu seolah-olah bertaraf Timbalan Perdana Menteri atau Menteri Kanan yang paling kanan sekali. Ini kerana dalam suasana kritikal untuk melawan Covid-19 dan kesannya, peranan majlis itu amat penting.

Reaksi terhadap pelantikan itu adalah jelas dan deras. Bagi penyokong tegar kerajaan BN-PN tentulah mereka akur saja dengan keputusan itu.

Bagi mereka, tentulah Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob tahu apa yang dilakukannya. Pertimbangan politiknya mestilah untuk kebaikan rakyat dan negara di samping memberi keuntungan pada partinya, iaitu Umno dan BN serta sekutuya, PN.

Reaksi penyokong pembangkang tentulah dengan jelas mengkritik tindakan itu. Ini kerana pelantikan itu menunjukkan bahawa kerajaan BN-PN ini hanyalah penjelmaan semula kerajaan PN-BN. Ia bukan setakat kerajaan kitar semula tetapi sebenarnya tidak ada perubahan. Ia hanya penyusunan huruf antara PN dan BN.

Bagi orang yang berkecuali, maknanya yang bukan pendokong kerajaan atau pembangkang, berita itu juga mendatangkan kekecewaan. Ini kerana sebelum tumbangnya kerajaan PN-BN, pandangan umum orang ramai adalah bernada marah. Mereka marah kerana angka jangkitan Covid-19 yang tinggi dan kawalan pergerakan yang berterusan. Kemarahan ini membawa kepada tuntutan supaya berlaku perubahan. Kerajaan pasti dapat merasakan kemarahan itu. Jadi apabila kerajaan PN-BN ini tumbang, maka ada suasana lega. Ia memberi harapan bahawa kerajaan baharu yang lebih cekap akan dilantik dan mengubah cara menangani Covid-19. Ia tidaklah bermakna bahawa mereka mengharapkan Pakatan Harapan menjadi kerajaan semula. Kalaupun PH tidak menjadi kerajaan sekurang-kurangnya, kerajaan baharu yang menggantikannya akan mengemukakan wajah-wajah segar yang lebih cekap dan berwibawa.

Maka apabila Ismail Sabri dilantik sebagai perdana menteri, terdengarlah reaksi bahawa beliau bukanlah seorang yang sesuai untuk memimpin negara. Tetapi pada satu pihak, dinyatakan pula, bagilah peluang baginya untuk memimpin kerajaan. Sedangkan negara ini berada dalam keadaan kritikal untuk memberi peluang pada seseorang yang sudah dijangka tidak berupaya. Lebih-lebih lagi kepada ahli politik yang mempunyai rekod jelas. Adakah rekod beliau menjadi Pengerusi Majlis Keselamatan Negara merupakan suatu yang cemerlang dan memberi kejayaan?

Sungguhpun begitu, ada orang masih menaruh harapan bahawa Ismail Sabri akan melantik kabinet yang lebih baik daripada kerajaan Muhyiddin. Tetapi setelah seminggu berlalu dan kabinet beliau diumumkan, ternyata ia merupakan kerajaan kitar semula. Menteri Kewangan adalah orang yang sama. Menteri Kesihatan yang penting ditukar dengan Menteri Sains. Ada juga menteri yang baharu seperti menteri yang menjaga hal ehwal agama dan menteri wilayah persekutuan. Itupun mereka dilontar kritikan tajam dari orang ramai. Tetapi kementerian yang penting dipegang oleh orang sama, menjadikan kerajaan ini bertaraf kitar semula.

Tanda-tanda bahaya Muhyiddin mungkin dibawa semula ke dalam kerajaan mula dirasakan apabila Abdul Hadi Awang dilantik semula sebagai Duta Khas ke Timur Tengah dengan taraf menteri. Suatu kedudukan yang dikritik hebat oleh penyokong pembangkang sejak kerajaan PN-BN ditubuhkan tahun lalu.

Apabila Abdul Hadi memperoleh semula kedudukannya itu, ia menandakan bahawa Ismail Sabri akan melantik semua ketua parti menjadi menteri. Maka benarlah jangkaan ini apabila Presiden Bersatu itu turut memperoleh taraf menteri.

Seluruh episod politik yang berlaku ini wajar menyedarkan orang ramai supaya jangan meletakkan harapan tinggi terhadap sebarang perubahan kerajaan. Ini kerana apabila sesuatu kerajaan itu berubah, ia berlaku bukan atas kehendak atau untuk rakyat. Ia lebih kepada memenuhi kehendak dan kepentingan diri ahli politik berkenaan.

Perkara ini dapat dilihat daripada peristiwa tumbangnya kerajaan PN-BN dahulu. Oleh kerana di mata rakyat, kerajaan ini gagal menangani Covid-19, maka tumbangnya adalah kerana desakan orang ramai supaya ia diganti. Maka daripadanya rakyat mengharapkan sebuah kerajaan baharu yang boleh memberikan keyakinan kepada rakyat.

Tetapi hakikatnya ialah kerajaan PN-BN tumbang bukan kerana akur terhadap desakan rakyat, tetapi adalah disebabkan oleh permainan politik dalaman antara Bersatu dengan Umno untuk kepentingan pemimpin-pemimpin mereka. Bukan kerana rakyat.

Maka tidak hairanlah, kerajaan baharu yang dibentuk adalah hampir serupa dengan yang lama. Kerajaan ini memenuhi kehendak Umno yang menumbangkan kerajaan PN-BN. Ia juga memenuhi kehendak Bersatu yang menyokong kerajaan pimpinan ismail Sabri ini.

Amat menarik untuk diketahui sama ada lantikan-lantikan menteri itu sememangnya dirancang lebih awal ketika mana kerajaan PN-BN mendapati dirinya hilang majoriti. Setelah pembangkang menolak tawaran, maka perkara ini terus dilaksanakan.

Ini menepati dengan ungkapan “grand scheme of things” atau pengaturan besar yang ditujukan kepada mereka yang berkonspirasi melakukan Langkah Sheraton. Maka kedua-dua kerajaan PN-BN dan kerajaan BN-PN adalah sebahagian daripada skema Langkah Sheraton.

Melihat sejarah Umno, tidak ada Timbalan Perdana Menteri yang disingkirkan oleh Perdana Menteri menerima keadaannya. Mereka pasti berusaha untuk melawan kembali.

Musa Hitam cuba melawan melalui pakatannya dengan Tengku Razaleigh Hamzah. Anwar Ibrahim juga melawan balik. Muhyiddin yang disingkirkan oleh Najib Razak pun melawan balik.

Setelah kerajaan PH ditubuhkan pada tahun 2018, Muhyiddin kembali menjadi menteri biasa. Ketika saya menghadiri  majlis hari raya Kementerian Dalam Negeri pada tahun itu, terlihat di meja utama, Muhyiddin berbual dengan Lim Guan Eng dan Tommy Thomas. Persoalan yang ada pada  minda saya untuk diajukan pada masa itu  ialah, apakah Muhyiddin dapat menerima kedudukannya sebagai menteri biasa sedangkan sebelum itu beliau adalah Timbalan Perdana Menteri.

Setelah kerajaan PH tumbang. keluarlah pelbagai kisah politik yang memberi gambaran kepada para pemerhati untuk memahami kejadian-kejadian yang berlaku. Antaranya ialah perdebatan tentang siapa yang patut mengetuai PH untuk melawan BN dalam pilihan raya umum tahun 2018.

Pada masa itu Mahathir Mohamad dianggap terlalu tua untuk menjadi Perdana Menteri. Maka antara cadangannya ialah Muhyiddin menjadi calon Perdana Menteri bagi PH. Azmin Ali pula adalah timbalannya.

Perkara itu tidak berlaku. Mahathir menjadi Perdana Menteri dan Wan Azizah Ismail adalah timbalannya. Antara sebab yang dikatakan punca Langkah Sheraton berlaku ialah ada Ahli Parlimen Bersatu dan PKR yang mahu menghalang Anwar Ibrahim daripada menjadi Perdana Menteri. Selain itu mereka tidak mahu lagi bekerjasama dengan DAP.

Tetapi hakikatnya ialah ahli politik PKR dan Bersatu dapat menjadi ahli parlimen itu adalah atas undi antaranya dari penyokong Anwar dan DAP. Maknanya Langkah Sheraton itu adalah tidak menghormati undi-undi itu.

Maka tidak hairanlah, sama ada kerajaan PN-BN atau kerajaan BN-PN, kedua-duanya akan sentiasa ditolak oleh sebahagian besar rakyat. Lebih-lebih lagi apabila mereka tidak dapat mengatasi Covid-19 dengan segera. Iaitu dengan kesedaran bahawa kalau tidak kerana Covid-19, pasti berlaku demonstrasi membantah Langkah Sheraton dan pilihan raya umum ke-15 diadakan segera.