Malaysia Dateline

Pelantikan pengerusi Yakeb ditangan menteri belia dan sukan

Majlis Sukan Negara (MSN) menjelaskan keputusan akhir berhubung pelantikan pengerusi baharu Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) hanya akan dibuat oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata beliau yakin Syed Saddiq sedang meneliti beberapa calon untuk dipertimbangkan memegang jawatan tersebut yang dikosongkan bekas jaguh skuasy negara, Azlan Iskandar sejak pertengahan Oktober lepas.

“Mungkin menteri sudah ada calonnya tetapi tidak manis untuk saya dedahkan nama berkenaan,” katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Skim Bantuan Khas Yakeb di Majlis Sukan Negara, hari ini.

Calon Pengerusi Yakeb, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin dilihat  meneruskan komitmen untuk menerajui yayasan itu apabila sekali lagi tampil memberikan sumbangan bagi meringankan beban beberapa bekas atlet kebangsaan.

Seramai empat bekas atlet menerima bantuan daripada Yakeb. Mereka ialah dua bekas atlet berbasikal iaitu Jusof Udin dan Ishak Alwi, bekas atlet olahraga Mohd Shahrulhaizy Abd Rahman dan bekas atlet olahraga paralimpik Faridul Masri.

Ditanya mengenai gesaan bekas jaguh pecut negara, Datuk Rabuan Pit agar Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melantik segera pengerusi Yakeb, Megat D Shahriman berkata beliau tidak mengetahui mengenainya.

“Tetapi kalau komen itu untuk kebaikan Yakeb saya tiada masalah. Yang penting sama ada berada di dalam atau di luar kepimpinan Yakeb saya tetap akan membantu yayasan ini.

“Tetapi Alhamdulillah kalau ada orang berharap macam itu, saya berterima kasih kepadanya kerana mencadangkan supaya disegerakan pelantikan saya,” katanya selepas menyampaikan sumbangan dalam bentuk barangan kira-kira bernilai RM20,000 hari ini.

Untuk rekod, pada September lepas, Megat D Shahriman menyuarakan kesediaan menjadi sebahagian daripada kepimpinan tertinggi Yakeb selain mengotakan janji dengan menyerahkan bantuan RM 500,000.

— BERNAMA