Malaysia Dateline

Pelantikan Rania Zara ikut prosedur CCM, kata Kementerian Kesihatan

Kementerian Kesihatan Malaysia hari ini menjelaskan pelantikan Rania Zara Medina sebagai Ahli Country Coordinating Mechanism (CCM) Malaysia untuk Penggal 2019-2021 adalah mengikut prosedur sedia ada.

Dalam kenyataan Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye menerangkan Sebagai keperluan Global Fund, anggota CCM terdiri daripada 25 ahli yang mewakili pemegang taruh seperti agensi kerajaan, NGO, ahli akademik, dan wakil komuniti dari populasi sasar.

Populasi sasar ini termasuk Transgender, Men-sex-with-men, Female sex worker,‘People who use drug’ dan people living with HIV/AIDS (PLHIV).

“Wakil komuniti populasi sasar dipilih daripada kalangan populasi berkenaan dan disahkan melalui surat lantikan oleh Pengerusi CCM, Iaitu Timbalan Menteri Kesihatan.

“Fungsi CCM adalah bagi mengawal HIV/AIDS adalah sejajar dengan Pelan Strategik Nasional untuk menangani wabak HIV/AIDS di negara ini,” ujarnya.

Isu pelantikan Rania Zara Medina sebagai ahli CCM mendapat perhatian ramai apabila dakwaan beliau adalah seorang transgender.

Rania dilantik ke jawatan itu melalui surat pelantikan rasmi bertarikh 25 Jun lalu.

Ia tersebar apabila lantikan itu dimuatnaik Rania ke Facebook dengan menunjukkan surat itu ditandatangani sendiri oleh Boon Chye.

Menurut kenyataan KKM lagi, CCM Malaysia telah ditubuhkan atas keputusan Jemaah Menteri pada tahun 2009 untuk menangani penyakit HIV/AIDS melalui sumbangan dari Global Fund.

Antara fungsi utama CCM Malaysia adalah merangkumi permohonan peruntukan di bawah Global Fund, pemantauan serta memberi sokongan teknikal bagi perlaksanaan projek berkenaan.

KKM bertindak sebagai koordinator dan dipengerusikan olehTimbalan Menteri Kesihatan.

Pengerusi pertama CCM adalah Timbalan Menteri Kesihatan ketika itu, iaitu Datuk Dr. Haji Abdul Latiff Ahmad, diikuti Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan Dato’ Seri Dr. Hilmi Haji Yahaya.

Jawatan pengerusi terkini disandang oleh Timbalan Menteri Kesihatan Dr. Lee Boon Chye.