Malaysia Dateline

Pelantikan semua Menteri Kabinet terbatal

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan membatalkan pelantikan semua menteri atas nasihat Perdana Menteri hari ini.

Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali berkata, pembatalan itu sebagaimana diperuntukkan dalam Perkara 43 (5) Perlembagaan Persekutuan selaras dengan peletakan jawatan Perdana Menteri pada hari ini.

“Sehubungan itu tugas anggota pentadbiran merangkumi Timbalan Perdana Menteri, Menteri, Timbalan Menteri dan setiausaha politik terhenti pada tarikh sama,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong melantik Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri interim mengikut Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan ekoran peletakan jawatannya hari ini.

Pelantikan tersebut membolehkan Dr Mahathir menguruskan pentadbiran negara sehingga Perdana Menteri dan anggota Kabinet baharu dilantik.