Pelantikan Shahrir sebagai pengerusi Felda petanda PRU14 makin hampir

Pelantikan Tan Sri Shahrir Abdul Samad sebagai pengerusi Felda yang baharu adalah petanda pilihan raya umum ke-14 (PRU14) semakin hampir, kata Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak).

Presidennya Mazlan Aliman berkata, BN begitu terdesak untuk pertahankan sokongan undi warga felda di 54 Parlimen dan 92 Dun.

“Mengikut perhitungan BN, barangkali perlantikan Tan Sri Shahrir adalah langkah terbaik menyelamatkan undi warga Felda.

“Akan ada ‘gula-gula’ diumumkan, seperti durian runtuh sebelum PRU13 dulu. Moga warga Felda tidak terperangkap dengan taktik seperti ini pada setiap kali menghampiri pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan.

Shahrir Abdul Samad yang juga ahli Parlimen Johor Bahru dilantik sebagai pengerusi baharu Felda selaras dengan hasrat kerajaan untuk memperkukuhkan dan memantapkan lagi kepimpinan lembaga tersebut.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Shahrir menggantikan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang telah tamat tempoh perkhidmatannya sebagai Pengerusi Felda, manakala Mohd Isa akan terus memegang jawatan sebagai pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, jika Shahrir benar-benar mahu membawa perubahan dalam Felda, beliau mesti menggesa kerajaan membatalkan pembelian Ladang Pt Eagle High Plantation yang akan merugikan Felda.

“Dari zaman Tan Sri Raja Alias, Tan Sri Yusof Nor dan Tan Sri Isa Abd Samad sebagai Pengerusi Felda, adalah jelas kegagalan Tan Sri Isa Samad yang menimbulkan amarah warga Felda. Bagaimana Shahrir Samad bertanggungjawab untuk mencuci ‘ najis’ yang ditinggalkan merata tempat?

“Ia misi sukar, apatah lagi jika Shahrir meneruskan dasar Kerajaan di bawah Najib yang tidak membawa manfaat kepada warga Felda.

“Justeru, sebagai langkah pertama, beliau harus kemukakan kepada Kerajaan, agar pembelian Ladang Pt Eagle High Plantation yang dibuat di hujung era TS Isa Samad mestilah dibatalkan. Ia isyarat kesungguhan awal beliau untuk membawa pembaharuan,” katanya.

Dalam masa sama, Anak kata Mazlan, mengulangi gesaan agar semua jawatan Isa seperti Pengerusi FIC, Pengerusi FGV, Pengerusi Felda Holding dan anak-anak syarika ditamatkan.

“Bebaskan pengaruh dan cengkaman Isa Samad dalam semua Institusi berkaitan Felda segera.

“Bahkan, atas aduan kepada Polis dan SPRM, siasatan terhadap Isa Samad mesti diteruskan. Audit menyeluruh sepanjang perkhidmatan beliau dari Januari 2011 hingga 31 Disember 2016 mesti dilakukan. Jika ada bukti salah laku, Isa mesti dihadap ke muka pengadilan,” katanya.

COMMENTS

Wordpress (0)