Malaysia Dateline

Pelantikan Speaker sekarang berbeza dengan era PH, kata Khalid Samad

Proses pelantikan Datuk Mohamad Ariff Yusof sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat dua tahun lalu berbeza dengan tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) melantik Datuk Azhar Azizan Harun.

Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad berkata, pelantikan Mohamad Ariff yang juga bekas hakim Mahkamah Rayuan ketika era kerajaan Pakatan Harapan (PH) lalu adalah mengikut prosedur ditetapkan.

Sebaliknya, kata Ahli Parlimen Shah Alam itu, pelantikan Azhar berlaku ketika Mohamad Ariff masih menyandang jawatan Speaker Dewan Rakyat.

“Suasananya jauh berbeza. Kita mengikut peraturan. Selepas pilihan raya, (PH) baru menang, Perdana Menteri baru, Speaker pun baru.

“Sebelum bermulanya persidangan Parlimen yang pertama, Speaker kena dilantik, mesti ada pencalonan tetapi malangnya tiada pencalonan dibuat di pihak mereka.

“Oleh itu, hanya seorang sahaja calon berbeza. Berbeza dengan keadaan kita. Speaker sudah ada kemudian dikosongkan.

“Mana boleh. Dia (kerajaan PN) tidak beri kita peluang mencalonkan Speaker yang baharu,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam Bicara YB Khalid Samad (Siri 66) bertajuk, “Antara Negara Adil dan Negara Zalim” yang dimoderatorkan oleh Mohd Shaiful Roseman secara langsung di Jom Channel FB Live malam tadi.