Pelarian Rohingya: Pulang untuk dibaham serigala ganas?

Pelarian Rohingya: Pulang untuk dibaham serigala ganas?

Berita penghantaran semula pelarian Rohingya dari Bangladesh ke Myanmar telah menimbulkan pelbagai reaksi daripada masyarakat antarabangsa.

Memorandum persefahaman penghataran semula ditandatangani oleh Bangladesh dan Myanmar pada 23 November lalu tetapi masih ramai lagi yang tidak jelas dengan perinciannya.

Bahkan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sendiri belum lagi mendapat apa-apa maklumat berkaitan memorandum tersebut.

Menurut laporan Myanmar Times pada 27 November lalu, penghantaran pulang etnik Rohingya akan dimulakan seawal pertengahan Januari tahun depan.

Perjanjian ini dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa tanpa mengambil kira pandangan atau kemahuan pelarian walaupun kedua-dua kerajaan Bangladesh dan Myanmar berjanji bahawa penghantaran pulang ini tidak akan dilakukan secara paksa.

Perjanjian ini juga dilakukan tanpa melibatkan komuniti antarabangsa seperti Kesatuan Eropah mahupun PBB sendiri. Timbul tanda tanya, sejauh mana keikhlasan Bangladesh dan Myanmar?

Adakah tindakan ini sekadar untuk menutup keriuhan masyarakat antarabangsa dalam isu ini dan melegakan kegundahan Bangladesh yang tidak mahu pelarian Rohingya menetap secara kekal di Bangladesh?

Sehingga kini, soal keselamatan para pelarian masih hangat dibincangkan di peringkat antarabangsa kerana tiada petanda meyakinkan daripada kerajaan Myanmar terutamanya di pihak tentera atau Tatmadaw bahawa mereka benar-benar serius untuk menerima kehadiran pulang Rohingya.

Jeneral Min Aung Hlaing dengan jelas menulis pada laman Facebooknya pada 15 November lalu:

“Persediaan telah dibuat untuk penghantaran pulang pelarian tetapi “adalah mustahil untuk menerima bilangan orang yang dicadangkan oleh Bangladesh.”

“Keadaan ini mesti diterima oleh kedua-dua masyarakat etnik Rakhine dan Bengali, dan penekanan mesti diberikan kepada kehendak etnik Rakhine tempatan yang merupakan warganegara Myanmar sebenar,” tulis Hlaing di halaman Facebooknya.

Sehingga kini, Min Aung Hlaing tidak pernah menerima Rohingya sebagai rakyat tempatan dan kekal memanggil Rohingya dengan nama Bengali.

Malah, Min Aung Hlaing menolak Laporan oleh Suruhanjaya Penasihat di Rakhine  yang dipengerusikan oleh Kofi Annan meminta kemajuan sosial, hak kewarganegaraan, keamanan dan penutupan kem pelarian dan menganggap ia berat sebelah dan melebihkan pelarian Rohingya.

Kisah-kisah berkenaan kekejaman Tatmadaw bukan lagi perkara yang luar biasa di Cox’s Bazar. Malah ia konsisten diceritakan oleh semua mangsa keganasan Tatmadaw.

Ini termasuklah pukulan ganas, tembakan secara melulu tidak terkecuali terhadap kanak-kanak, orang tua dan wanita, kekejaman seksual terhadap wanita serta dibakar hidup-hidup di dalam rumah sendiri.

Lelaki-lelaki Rohingya ditahan tanpa sebab dan hilang begitu sahaja tanpa diketahui untung nasib mereka. Kisah itu masih berterusan sehingga hari ini kerana masih ada penghijrahan berlaku dari Rakhine ke Bangladesh walaupun selepas perjanjian penghantaran semula ditandatangani.

Kebimbangan kumpulan hak asasi manusia juga diutarakan berkenaan di mana pelarian ini akan ditempatkan dan status kepada akses kepada bantuan kemanusiaan kepada mereka.

Rumah dan kampung mereka telah dibakar juga segala harta-benda mereka telah dirampas. Tidak ada kemungkinan untuk mereka pulang ke tempat asal mereka melainkan terpaksa diasak masuk ke dalam ‘model villages’ yang telah diumumkan oleh kerajaan Myanmar.

Kem seperti itu masih wujud di Sittwe di mana keadaan mereka tidak ubah seperti berada dalam ‘penjara terbuka’. Bantuan kemanusiaan dicatu dengan ketatnya, bantuan perubatan dinafikan, anak-anak Rohingya tidak dibenarkan bersekolah malah pergerakan juga adalah terbatas.

Terdapat juga keadaan di mana Rohingya dipaksa menjadi buruh tanpa bayaran. Nasib inilah yang menimpa pelarian yang kembali ke Rakhine sewaktu perjanjian penghantaran semula pada 1978, 1992 dan 1999.

Myanmar turut menyatakan bahawa untuk diterima pulang, pelarian Rohingya mestilah berupaya membuktikan mereka adalah rakyat Myanmar sedangkan dari awal lagi Myanmar tidak pernah menganggap Rohingya sebagai rakyat mereka.

Bahkan, kebanyakan mereka yang lari ke Bangladesh dalam keadaan sehelai sepinggang. Menurut aktivis Rohingya Nay San Lwin, dokumen pengenalan kebanyakan etnik Rohingya telah dirampas oleh pihak tentera sebelum 25 Ogos lalu.

Dalam laporan global UNHCR 1999, pihak kerajaan Myanmar dilaporkan beberapa kali mengubah prosedur yang telah dijanjikan termasuklah mengetatkan syarat untuk diterima pulang menyebabkan hanya sebilangan kecil pelarian Rohingya berjaya pulang.

Mengambil kira pelbagai situasi ini, saya tidak pasti dalam keadaan apa pelarian Rohingya ini hendak dipulangkan kepada Myanmar oleh Kerajaan Bangladesh.

Kebanyakan pelarian Rohingya yang berada di Cox’s Bazar menyatakan keinginan untuk pulang sekiranya kerakyatan mereka dan keperluan asas diberikan tanpa prejudis.

Namun, tiada sebarang tanda yang kerajaan Myanmar bersedia untuk membincangkan berkenaan isu kerakyatan warga Rohingya dalam tempoh terdekat menjadikan masa depan mereka begitu kabur.

Beberapa cendekiawan seperti Dr Maung Zarni, Penny Green dan Alicia de la Cour Venning mengesahkan krisis yang berlaku di Rakhine merupakan sebuah genosid yang memerlukan tindakan ‘Responsibility To Protect’ (R2P) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Namun, pertubuhan badan dunia dan sesetengah pertubuhan hak asasi manusia masih lagi bermain dengan kata-kata seperti ‘apartheid’ dan pembersihan etnik yang tidak memungkinkan tindakan drastik diambil terhadap Myanmar.

Selagi tiada jaminan keselamatan seperti kehadiran Tentera Pengaman PBB untuk memantau proses penghantaran semula, pemberian kerakyatan dan penerimaan rakyat Myanmar terhadap diversiti etnik di Myanmar, kembalinya Rohingya ke tanah Rakhine tak ubah seperti menyerahkan ayam untuk dibaham serigala ganas yang menanti mangsanya di dalam reban.

* Penulis merupakan Presiden, Kempen Antarabangsa Rohingya (Malaysia) dan Duta Ke Malaysia, Majlis Rohingya Eropah.

CATEGORIES