Malaysia Dateline

Pelarian Rohingya tidak pernah tuntut kewarganegaraan Malaysia

Penderitaan warga Rohingya nampaknya semakin tiada kesudahan ibarat “ditelan mati emak dan diluah mati ayah”. Semua ini ekoran penindasan dan penghapusan etnik (genosid) besar-besaran oleh kerajaan Myanmar kerana menafikan kewarganegaraan mereka di Rakhine Barat, Myanmar.

Walaupun Myanmar dipimpin oleh Aung San Suu Kyi iaitu penerima Hadiah Nobel Keamanan pada tahun 1991, tetapi ironinya isu minoriti etnik Rohingya dipandang sepi tanpa pengadilan pihak beliau dan kerajaannya.

Hak asasi manusia dicabuli, sehingga sebuah negara kecil iaitu Gambia telah memfailkan satu prosiding terhadap negara Myanmar atas perbuatan mereka keatas etnik Rohingya di bawah Konvensyen Genosid Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) 1948 sejak November 2018.

Gambia telah mewakili suara 57 buah negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang inginkan keadilan buat minoriti Islam etnik Rohingya. Walaubagaimanapun, Suu Kyi yang mewakili negaranya di The Hague dalam pembicaraan prosiding Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) iaitu institusi kehakiman tertinggi PBB sejak Disember 2019 telah menafikan tuduhan Gambia dan berani mencabar ICJ.

Menurut PBB dan Kesatuan Bangsa Penguatkuasa Pelarian Tertinggi (UNHCR) telah melaporkan pelarian Rohingya ialah pelarian yang perlu dilindungi. Dilaporkan juga oleh UNHCR, terdapat 730, 000 pelarian Rohingya di Kem Pelarian Cox’s Bazar, Bangladesh. Manakala 600,000 Rohingya yang masik kekal di Rakhine dan 150, 000 orang Rohingya di Malaysia.

Kebenaran, pembelaan dan keadilan buat etnik Rohingya masih samar. Apa usaha yang boleh dilakukan oleh semua pihak? Atas dasar keprihatinan dan kemanusiaan, isu ini perlu diberi perhatian disamping wabak Covid-19 yang juga membimbangkan seluruh negara.

Menggariskan jangkitan Covid-19 dan keselamatan negara sebagai kayu ukur sehingga 200 orang etnik Rohingya yang cuba masuk ke perairan Malaysia diminta untuk kembali ke negara asal, adakah ia satu tindakan yang wajar atau tidak?.

Melihat kepada respon warganet Malaysia serta pihak-pihak berkuasa menunjukkan betapa nilai kemanusiaan semakin lenyap dalam diri kita. Adakah ini adalah kesan “new normal” yang sering diperkatakan semenjak kebelakangan ini. Penulis ingin mengajak para pembaca untuk memikirkan kesan-kesan tindakan kita pada hari ini, sama ada menerima pelarian Rohingya atau menolak mereka.

Sekiranya Malaysia menerima pelarian Rohingya…

Pihak yang akan merespon tindakan ini pastinya rakyat Malaysia. Atas sebab apa?

Jika usaha ini diteruskan, secara tidak langsung kerajaan Malaysia boleh menafikan dakwaan dua pertubuhan hak asasi manusia iaitu Amnesty International (AI) dan Human Rights Watch (HRW) yang menyelar tindakan Malaysia dan negara-negara Asia Tenggara kerana enggan menerima bot yang membawa pelarian Rohingya.

Kritikan daripada pertubuhan berperingkat antarabangsa tidak akan terjadi malah tindakan menerima pelarian Rohingya akan mendapat perhatian dunia. Dalam kejayaan menangani jangkitan wabak Covid-19, negara Malaysia berjaya menangani isu pelarian Rohingya dengan penuh diplomatik seperti memberi perlindungan, tempat kuarantin dan pemantauan wabak Covid-19 terhadap pelarian Rohingya.

Walaupun Malaysia tidak pernah meratifikasi Konvensyen Pelarian 1951. Memetik ulasan Datuk Reezal Merican Naina Merican (BN-Kepala Batas) di dalam Sidang Kemuncak Kemuncak OIC Sesi-14, yang menekankan tiga perkara mengenai Rohingya iaitu menuntut pengadilan terhadap etnik Rohingya, memastikan penghantaran pelarian Rohingya secara sukarela, selamat dan bermaruah dan meneruskan bantuan kemanusiaan kepada Rohingya.

Selain itu, tindakan yang sama pernah dizahirkan oleh YAB Tun Dr. Mahathir Muhamad semasa pemerintahan beliau ke atas isu pembersihan etnik di Bosnia Herzegovina. Mari soroti sejarah yang membanggakan warga Malaysia di mana tindakan ini masih dikenang sebagai satu kejayaan Malaysia bukan hanya kejayaan individu semata-mata.
Pada asalnya Bosnia Herzegovina, Serbia, Montenegro, Croatia, Slovenia dan Macedonia adalah sebuah negara Yugoslavia. Susulan kejatuan Soviet Union, setiapnya menuntut untuk menubuhkan negara sendiri tetapi Serbia membantah hasrat Bosnia dan mengambil tindakan keras untuk menghentikan Bosnia.

Pihak Serbia menggunakan kekerasan ketenteraan dan membunuh untuk merampas wilayah Bosnia (1992-1995). Kira-kira hampir 100,000 nyawa telah terkorban. Ketika ini, PBB gagal untuk menyelesaikan isu berdarah ini sehinggalah muncul seorang wira dari sebuah negara kecil yang memberi tekanan dan menggesa badan dunia untuk memberi bantuan kepada Bosnia dengan menghantar tentera di bawah payung PBB. Mungkin ramai warganet akan menyangkal perkara ini kerana pada ketika itu Covid-19 tiada.

Adakah menerima mereka sama seperti memberi hak kesamarataan kepada mereka? Perlindungan yang diberi kerajaan Malaysia kepada pelarian Rohingya hanya bersifat sementara. Pelarian Rohingya yang telah menetap di Malaysia yang mempunyai kad UNHCR sahaja dibenarkan.

Selama ini, segala keperluan mereka seperti pendidikan, kesihatan dan ekonomi diusahakan oleh pihak mereka sendiri bersama-sama usaha baik agensi-agensi bukan kerajaan. Semenjak kehadiran minoriti etnik Rohingya di Malaysia, mereka tidak pernah menuntut sebarang keistimewaan sepertimana yang diperolehi oleh warganegara Malaysia.

Seperti diceritakan oleh Hasnah Hussin, seorang belia berusia 27 tahun merupakan seorang anak pelarian Myanmar, mereka hanya dapat pendidikan melalui projek rintis untuk anak-anak pelarian. Beliau berkongsi pengalamannya ketika menjadi salah seorang panelis dalam satu forum bertajuk Refugees and the Right to Dream di Kuala Lumpur pada Februari 2020.

Katanya lagi, ‘semasa sekolah saya digelar budak Burma dan saya menyangka saya orang Malaysia tetapi disebabkan sehingga kini saya hanya ada kad UNHCR walaupun lahir di Malaysia dan ibu ayah berasal dari Myanmar.

Saya sedar saya bukan warga Malaysia walau membesar bersama mereka’. Tambahannya lagi, ‘saya pernah bertanya kepada ibu saya, adakah kami tiada kampung?.

Jawab mak saya “kampung kita ada tetapi kita tidak boleh pulang lagi”. Mereka sekeluarga dan seluruh warga Rohingya menunggu untuk pulang ke kampung halaman. Menurut ICJ, gesaan oleh pihak PBB untuk melindungi etnik muslim Rohingya perlu disegerakan oleh pihak Myanmar dan mereka perlu melaporkan keadaan semasa kepada ICJ selepas 4 bulan. Jangkaannya pada Mei 2020.

Tular baru-baru ini apabila Zafar Ahmad Abdul Ghani, Presiden Organisasi Hak Kemanusian Etnik Rohinya Myanmar (MERHROM) dikatakan menuntut kewarganegaraan kepada kerajaan Malaysia.

Penularan berita yang palsu ini menarik perhatian warganet kerana berupaya menganggu gugat keistimewaan Melayu dan Islam khususnya. Kebenaran yang harus ditelan dan diterima oleh warganet adalah Zafar Ahmad tidak pernah menuntut kewarganegaraan tetapi sebaliknya beliau sekadar menggesa kerajaan Malaysia sebagai salah satu negara OIC bagi menggesa OIC dan PBB untuk membantu pelarian Rohingya dan isu hak kemanusiaan etnik Rohinya.

Seperti keadaan yang telah dihadapi oleh Hasnah Hussin, walaupun beliau lahir di Malaysia tetapi hak kewarganegaraan masih belum menjadi haknya. Selain itu, tuntutan kewarganegaraan di negara Malaysia perlu melepasi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Kini, kita bukan lagi berada di zaman pemerintahan British ketika gagasan Malayan Union (1945) yang memperkenalkan usul Jus Soli, yang memudahkan pengiktirafan hak kerakyatan sama rata tanpa mengira bangsa dan keturunan.

Jika itu yang menjadi kebimbangan warganet. Apakah perasaan kita apabila saudara mara kita juga diperlaku sebegini? Disaat kita masih selesa dengan keamanan negara Malaysia, biarlah kita dikejutkan sedikit dengan perkara ini untuk renungan bersama.

Sekiranya Malaysia menolak pelarian Rohingya..

Kebenaran pahit yang harus ditelan oleh semua warga ialah negara kita menolak pelarian Rohingya yang mengharapkan perlindungan daripada sebuah negara yang berkompetensi tinggi.

Reputasi Malaysia salah satu negara OIC yang lantang bersuara tentang isu-isu kemanusiaan yang melibatkan negara-negara Islam serantau, kelak akan menjadi seperti ‘singa yang mengaum di dalam sangkar’.

Selain itu, keselamatan Malaysia dan warganegaranya terjamin daripada penularan wabak covid-19 yang akan wujud oleh kluster baru pelarian Rohingya seperti sangkaan pihak-pihak berkuasa dan warganet.

Antara kesan lain adalah pelarian yang masih didalam bot terpaksa merentas lautan untuk kembali sama ada ke Bangladesh atau Myanmar sekaligus mendedahkan mereka kepada bahaya yang akan meragut nyawa mereka.

Mengikut prinsip maqasid syariah yang memenuhi kemaslahatan manusia, nilai menjaga nyawa (hifz an-nafs) adalah salah satu elemen penting sesebuah negara. Dalam konteks isu ini, kedua-duanya nyawa iaitu nyawa rakyat Malaysia dan nyawa pelarian Rohingya perlu dijamin keselamatannya. Ia juga selari dengan prinsip hak-hak asasi kemanusiaan (HAM).

Ringkasan kepentingan maqasid syariah ini ialah memberi fleksibiliti dalam urusan pentadbiran sejajar kemaslahatan, menghasilkan tindakan-tindakan yang berpandangan jauh yang membawa kepentingan sejagat dan menyerlahkan kesempurnaan Islam.

Kesimpulan

Menolak atau menerima pelarian Rohingya terletak kepada tampuk kepimpinan negara yang tertinggi, pihak berkuasa khususnya Menteri Luar boleh mengkaji kewajaran isu ini dengan mengambil pendekatan yang lebih menyeluruh.

Kesan-kesan tindakan pada hari ini bukan sahaja memberi kesan kepada jangka masa pendek tetapi jangka masa panjang yang melibatkan negara-negara ASEAN serantau.

Selain itu, isu generalisasi yang menjadi kebimbangan warganet sehingga mengecam etnik minoriti Rohingya sebagai bangsa yang pengotor, tidak berakhlak dan kasar bukan satu natijah kepada keseluruhan etnik Rohingya.

Warga yang jahat pasti ada sahaja pada mana-mana bangsa, kita tidak mulia kerana bangsa tetapi kita mulia kerana nilai akhlak dan kemanusiaan.

Stigma tentang etnik Rohingya menuntut hak kesamarataan tidak boleh diguna pakai untuk membuat sebarang penilaian, hakikatnya stigma ‘Melayu dan Islam’ akan hilang keistimewaan di Malaysia akan terus membarah dikalangan warganegara Malaysia. Akhirnya keharmonian negara akan dimusnahkan oleh anak bangsa sendiri.

*Penulis merupakan aktivis Persatuan Belia Harmoni Malaysia.