Malaysia Dateline

Pelarian UNHCR di KL sah positif Covid-19 selepas ujian kali ketiga

Mangsa jangkitan Covid-19 yang merupakan pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) didakwa sah positif virus itu selepas menjalani ujian saringan kali ketiga.

Pengguna Facebook, Andre CH Lai mendakwa warga Somalia yang menghuni di tingkat 15, Blok C, Idaman Sutera dekat Setapak, Kuala Lumpur itu adalah peserta perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling.

“Beliau telah menghadiri perhimpunan tabligh sebelum ini dan telah mengambil dua kali pemeriksaan yang berstatus negatif.

“Walau bagaimanapun, pemeriksaan kali ketiga menunjukkan positif untuk Covid 19 – tepat 2 minggu selepas dia dikuarantin,” tulisnya.

Dalam masa sama, Andre menceritakan situasi kebanjiran warga asing di kawasan kejiranan tersebut sehingga surau di situ mendapat jolokan sebagai ‘Surau Somalia’.

Jelasnya, sebahagian besar mereka kerap berada di luar rumah tanpa memakai penutup mulut dan hidung sejak seminggu lalu.

“Rondaan polis kerap diadakan di Medan Idaman. Baru-baru ini, polis mengejar mereka dan mengarahkan mereka kembali ke rumah.

“Selama bertahun-tahun, masyarakat setempat tidak selesa dengan kemasukan begitu ramai orang asing berstatus pelarian,” ujarnya.

Sehubungan itu, Andre menasihatkan penduduk di sepanjang Jalan Meranti agar mengelak berada di luar rumah bagi tidak mendedahkan diri kepada risiko jangkitan Covid-19.