Malaysia Dateline

Pelawaan parti politik sertai Bersatu, sukar laksana,kata Mahfuz

Pelawaan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya parti politik Melayu menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), disifatkan sebagai sukar dan tidak mungkin dilaksanakan.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar, berkata perkara paling penting yang mesti dicapai adalah untuk membina minda dan memperkasa jiwa masyarakat Melayu.
Ini kerana katanya, perpecahan akan terus berlaku jika perebutan kuasa masih berlaku biarpun berada dalam satu parti politik yang sama.
“Isu itu (penyatuan Melayu), saya sendiri cukup setuju. Tetapi untuk menyatukan Melayu dalam satu parti, itu satu perkara yang terlalu ideal yang sukar dan tak mungkin dilaksanakan.
“Kalau mereka berada di dalam satu parti tetapi jiwa mereka ada ketakutan (penyertaan kaum lain dalam politik), saya percaya bahawa orang Melayu tidak boleh bergerak.
“Jika berada dalam satu parti politik tetapi masih bersaing untuk perebutan kuasa, maka sudah tentu akan berlaku perpecahan sesama sendiri,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Mahfuz yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata, kepentingan Melayu tidak akan terabai kerana kerusi majoriti terletak pada orang Melayu yang akan mewakili masyarakat Melayu dan calonnya juga merupakan orang Melayu.
Tambahnya, soal pecah belah tidak akan timbul apabila masyarakat Melayu membentuk satu identiti bersama yang baik.
“Tetapi, yang malang hari ini perpecahan kerana masalah dengki khianat dan politik fitnah yang dibawa yang tidak mempunyai asas kepada realiti dalam negara kita. Maka itu sudah tentu akan bawa kepada perpecahan.
“Malah kalau duduk dalam satu parti pun, masih bersaing untuk perebutan dan sebagainya, maka sudah tentu akan berlaku perpecahan sesama sendiri,” katanya.