Malaysia Dateline

Pelawak ‘stand up’ komedi Jamali Shadat meninggal dunia

Pelawak veteran popular, Datuk Jamali Shadat, 78, meninggal dunia di kediamannya di Kampung Sungai Pinang, Pulau Indah Pelabuhan Klang, pagi tadi.

Anak keenam beliau, Fauzi Jamali, 48, yang memaklumkan bapanya menghembuskan nafas terakhir pada jam 8.15 pagi, lapor Sinar Harian.

Allahyarham Jamali yang popular membawa watak kanak-kanak bernama ‘Atan’ itu dikenali dengan gaya uniknya mampu meniru suara rakyat berbilang kaum dalam persembahan jenakanya.

Beliau yang dilahirkan di Bukit Kapar, Klang, Selangor itu mula dikenali ramai selepas dinobatkan sebagai Naib Johan Bakat TV 1971 dengan memenangi hadiah wang tunai RM3,000.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri turut berkongsikan berita pemergian tokoh itu di Facebook.

“Dukacita dimaklumkan bahawa Datuk Jamali Shadat telah meninggal dunia pagi ini di kediamannya di Kampung Sungai Pinang, Pulau Indah Pelabuhan Klang.

“Perginya seorang seniman. Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Amin. Al-Fatihah buat Allahyarham Datuk Jamali Shadat,” katanya.

Allahyarham yang mempunyai lapan anak dan 39 cucu itu dilaporkan uzur dan perlu bergantung kepada bantuan anak serta menantunya untuk menguruskan diri.

Fauzi juga dilapor berkata, bapanya banyak mendiamkan diri, murung dan kerap tidur selepas kematian ibunya, Allahyarham Lela Yacob pada Jun 2018.

Menurutnya, tahap kesihatan dan ingatan Allahyarham yang menghidap penyakit darah tinggi serta kencing manis juga merosot sejak dua tahun lalu.

Allahyarham difahamkan akan dikebumi di tanah perkuburan Islam Pulau Indah, Klang.