Malaysia Dateline

Pelbagai bantuan disediakan untuk membela nasib nelayan di Perlis

Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) terus memainkan peranan membangunkan Industri Asas Tani yang dinamik dan berdaya saing dengan menyediakan khidmat sokongan pengembangan aktiviti pemprosesan dan tambah nilai bagi komoditi ikan dan hasilan ikan.

Disamping itu turut melahirkan usahawan dan nelayan yang moden dan berpendapatan tinggi.

Demikian dinyatakan oleh Pengerusinya, Faiz Fadzil ketika meninjau projek bantuan usahawan nelayan di Perlis.

Jelas beliau lagi, pelbagai program khidmat sokongan disediakan bagi membantu usahawan yang terlibat dalam perusahaan pemprosesan makanan atau bukan makanan berasaskan ikan dan hasilan ikan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran, hasil jualan dan pendapatan serta menghasilkan produk berkualiti dan pembungkusan yang menarik.

Menurut Faiz lagi, sehingga 2019, seramai 982 usahawan pemeroses yang telah berdaftar dibawah program Pembangunan Usahawan Bimbingan (PUB) LKIM meliputi tahap 1 hingga tahap 5.

Selain itu katanya, usahawan-usahawan tersebut secara tidak langsung layak menerima pelbagai manfaat yang telah disediakan oleh LKIM bagi membantu dalam meningkatkan keupayaan keusahawanan mereka dalam sektor perikanan dan industri asas tani.

“Antara bantuan dan bimbingan yang disediakan adalah khidmat bantuan pembiayaan melalui geran kerajaan dan program pembangunan modal insan.

“LKIM juiga menyediakan khidmat bimbingan dan latihan kemahiran secara berterusan bagi memastikan pengusaha sektor industri pemprosesan produk makanan dan bukan makanan berasaskan ikan dikalangan usahawan bimbingan LKIM mampu berdepan dengan persaingan yang semakin mencabar.

“Sepanjang tahun 2019, sebanyak 15 siri kursus dan lawatan telah diadakan melibatkan seramai 272 orang usahawan merangkumi kursus rancangan perniagaan dan keusahawanan, pemprosesan dan teknikal, pemasaran dan persijilan, lawatan sambil belajar dan lain-lain,” ujarnya.

Tegasnya, LKIM masih meneruskan pelaksanaan Skim Bantuan Bencana Alam Dan Kebajikan Nelayan bertujuan untuk memberi bantuan segera dalam bentuk kewangan atau barangan maupun sebarang bentuk yang bersesuaian kepada nelayan yang terlibat dalam

kemalangan atau bencana alam yang melibatkan kemusnahan dan kerosakan harta benda serta kehilangan nyawa bagi meringankan beban mangsa dan juga keluarga.

Beliau juga berkata bantuan untuk khairat kematian yang disediakan berjumlah RM1,500.

Tambah beliau, pada tahun 2019 yang lalu, sejumlah 81 orang telah pun menerima bantuan Skim Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan LKIM di negeri Perlis.

“Projek khas Perumahan Nelayan (PKPN) adalah projek usaha kerajaan bagi meningkatkan taraf hidup isi rumah berpendapatan rendah dengan membaik pulih, membina baharu dan mewujudkan penempatan semula nelayan dengan prasarana asas supaya golongan
nelayan menikmati kualiti hidup yang lebih baik dan selesa.

“Kadar bantuan membaik pulih rumah nelayan sedia ada dengan kos maksima bagi Semenanjung ialah RM3,000 sebuah manakala bagi Sabah dan Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan adalah berjumlah RM5,000.

“Sementara itu PKPN Negeri Perlis merangkumi baik pulih perumahan nelayan darat dan pantai sejumlah 14 unit bernilai RM182,000 dan binaan rumah baru nelayan pula berjumlah RM56,000, ” kata Faiz.