Pelbagai juadah di Malaysia perlu dijadikan tarikan pelancong

Pelbagai juadah di Malaysia perlu dijadikan tarikan pelancong

Kepelbagaian dan keunikan juadah masyarakat pelbagai kaum di Malaysia perlu dipromosi sebagai daya tarikan pelancong, kata Duta Malaysia ke Thailand Datuk Jojie Samuel.

“Kita mahu mempromosi makanan Malaysia di sini (Thailand) dan berharap menerusi usaha itu kita akan dapat menarik mereka untuk pergi dan melawat Malaysia serta merasai layanan dan kebudayaannya,” kata beliau di sini.

Bercakap kepada Bernama selepas merasmikan “Malaysia Food Festival 2018” anjuran kedutaan negara, beliau berkata juadah Malaysia terkenal di seluruh dunia dan perlu diketengahkan sebagai salah satu produk pelancongan utama negara.

Makanan Malaysia juga menjadi cermin kepada keunikan kebudayaan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia, katanya.

Pesta makanan Malaysia yang dihadiri kira-kira 400 orang terdiri daripada rakyat Malaysia di Bangkok serta warga Thailand menampilkan pelbagai juadah seperti roti canai, roti jala, char kuey teow, nasi lemak, rendang ayam, teh tarik dan pelbagai kuih-muih.

Jojie dan isterinya Datin Catherina Cherian Samuel turut menunjukkan bakat memasak kari kepala ikan.

— BERNAMA

Loading...