Pelbagai kaum sertai penubuhan AMANAH Cawangan Limbang

Pelbagai kaum sertai penubuhan AMANAH Cawangan Limbang
Antara pimpinan yang dipilih pada Mesyuarat Penubuhan AMANAH Cawangan di Limbang semalam

 

Parti AMANAH Negara Negeri Sarawak terus mengorak langkah apabila menerima penyertaan daripada pelbagai kaum untuk menjadi ahli parti di negeri ini.

Terbaru ialah dengan penubuhan AMANAH Cawangan Limbang yang berlangsung di Bahagian Limbang, Sarawak semalam.

Menurut Setiausaha AMANAH Sarawak, Fadillah Sabali, seramai 30 orang ahli telah hadir pada mesyuarat penubuhan cawangan terbabit yang mempunyai 200 orang ahli.

Uniknya, ujar beliau ialah rata-rata ahli yang hadir adalah terdiri daripada pelbagai kaum iaitu Kedayan, Iban, Cina dan Melayu di kawasan Limbang berkenaan.

“Saya rasa AMANAH Cawangan Limbang ini amat unik penyertaannya kerana ahli-ahlinya terdiri daripada pelbagai kaum.

“Ini membuktikan bahawa Parti AMANAH Negara adalah sebuah parti yang terbuka kepada semua kaum, budaya dan agama di negara ini termasuk di Sarawak,” katanya ketika hadir pada Mesyuarat Penubuhan AMANAH Cawangan Limbang di Bahagian Limbang semalam.

Turut hadir ialah Ketua AMANAH Cawangan Limbang, Hong Ching Loo dan ahli jawatakuasa yang dipilih pada mesyuarat terbabit serta ahli-ahli dari Lawas.

Fadillah menegaskan, sebelum ini cawangan berkenaan telah pun aktif mengadakan aktiviti di sekitar kampung bagi mendekati penduduk dan masyarakat di Limbang.

Beliau menambah, dengan wujudnya AMANAH Cawangan Limbang telah memberi motivasi dan semangat kepada ahli-ahli parti untuk terus melaksanakan pelbagai program di samping akan menambahkan lagi penyertaan ahli baharu nanti.

“In shaa Allah…saya melahirkan keyakinan bahawa selepas ini dijangkakan ramai lagi ahli-ahli baharu bakal didaftarkan memandangkan gerak kerja yang dilakukan oleh AMANAH Cawangan Limbang.

“Malah di cawangan lain di seluruh Sarawak turut bergiat aktif turun padang dalam mengatur gerak kerja masing-masing,” tegasnya.

Pada majlis itu, Fadillah turut menerima sebanyak 32 borang permohonan penubuhan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP).

“Saya berharap apabila tertubuhnya MPKKP ini kelak akan memudahkan lagi khidmat pemimpin di peringkat kampung dan rumah panjang di sekitar Limbang untuk membantu penduduk di sini,” ujarnya lagi.

Fadillah Sabali (kiri) menerima borang penubuhan MPKKP daripada wakil AMANAH Cawangan Limbang.