Malaysia Dateline

Pelbagai pendekatan diambil untuk memulakan pelajaran di musim Covid-19

Pandemik Covid-19 yang melanda dunia dilihat telah memberi pelbagai kesan termasuk kepada sektor ekonomi, pelancongan dan khasnya sektor pendidikan.

The Telegraph melaporkan, pelbagai perubahan telah dilakukan oleh semua sekolah di seluruh dunia bagi memastikan langkah-langkah penjarakan sosial digunapakai ketika pelajar kembali ke sekolah mereka.

Ini termasuklah memakai topeng muka/mulut, mengubahsuai pengangkutan ke sekolah, dan menetapkan laluan ‘tertentu’ sahaja untuk ke bilik darjah.

Di China, pelajar perlu memakai topeng dan melalui kamera pengimbas untuk memeriksa suhu mereka semasa masuk ke dalam sekolah.

Pelajar hendaklah mematuhi syarat dengan sentiasa mengamalkan pemakaian topeng mulut apabila berada di dalam kelas.

Perkara itu ditegaskan Pengarah Pejabat Kumpulan Terkemuka Kementerian Pendidikan China (MOE) berkaitan Covid-19, Wang Dengfeng dalam satu sidang media.

Menurut laporan Xinhuanet, Dengfeng berkata, syarat tersebut diperlukan untuk ruang yang sesak seperti bilik darjah.

“Namun ia boleh dikecualikan ketika pelajar berada di taman permainan di luar dan mempunyai ruang yang cukup antara satu sama lain di kawasan berisiko rendah.

“Keperluan untuk pencegahan dan kawalan wabak adalah berbeza di pelbagai daerah, tetapi memastikan langkah keselamatan adalah prasyarat untuk sekolah dibuka pada semester baru.

Di Denmark pula, sekolah rendah dan tadika dibuka semula pada minggu lalu setelah penutupan dilakukan selama lima minggu berturut-turut.

Dari 15 April, beratus-ratus ribu kanak-kanak kembali ke sekolah dan mereka memutuskan sendiri bagaimana untuk melaksanakan peraturan jarak dua meter.

Untuk sesetengah kelas, pelajar dihantar ke luar dan diminta untuk bermain dalam sub kumpulan bagi mengelakkan penyebaran wabak.

Di sekolah rendah pula, meja ditempatkan sejauh enam kaki dan beberapa pelajaran kini turut diadakan di gimnasium yang kawasannya lebih luas.

Pelajar digalakkan mencuci tangan secara berkala sepanjang hari, dan terdapat juga beberapa sekolah mengarahkan pelajar mereka mencuci tangan sekurang-kurangnya setiap dua jam ketika berada di dalam kelas.

Banyak sekolah mengatakan bahawa kadar kehadiran pelajar melebihi 90 peratus, tetapi sebilangan kecil ibu bapa menjauhkan anak-anak mereka.