Malaysia Dateline

Harga barangan basah bagi tahun baharu 2017 ini dibimbangi menjadi bertambah mahal apa lagi menjelang musim perayaan

Pelbagaikan langkah tangani segera kenaikan harga barang

Kerajaan harus menyelesaikan masalah kenaikan harga barang dengan segera, saran Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Muhammad Faiz Fadzil.

Selain Skim Harga Maksimum, Muhammad Faiz menambah, kerajaan perlu memperkenalkan pelbagai langkah yang sesuai dalam menangani isu berkenaan.

Katanya, beban kos sara hidup rakyat, terutamanya bagi mereka yang akan meraikan Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai, juga haruslah dikurangkan.

FAIZ FADZIL

“Pada masa sama, kerajaan Perikatan Nasional (PN) harus memastikan harga bahan basah tidak melonjak selepas penamatan pelaksanaan Skim Harga Maksimum pada 3 Jun 2020 kelak.

“Kerajaan PN juga hendaklah lebih prihatin terhadap masalah yang dihadapi oleh rakyat pada hari ini,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan beliau hari ini.

Pada masa sama, Muhammad Faiz melihat, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) seharusnya bekerjasama rapat dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) seperti saranan bekas Menteri MOA, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Katanya, langkah tersebut penting untuk membantu pengeluar makanan asas dan barang basah meningkatkan pengeluaran menerusi bantuan yang sesuai, seperti dana kewangan khas untuk memulihkan operasi secara mendadak.

“Pada masa yang sama, kerajaan juga boleh meningkatkan import barangan makanan asas dari luar negara untuk menampung permintaan domestik.

“Tetapi yang pastinya, pengeluar tempatan harus diutamakan dan pertambahan import hanya harus dilakukan jika penawaran tempatan diunjurkan tidak mencukupi untuk menampung permintaan pengguna,” ujarnya lagi.

Menurut Muhammad Faiz yang juga Adun Permatang Pasir, kerajaan PN telah memperkenalkan Skim Harga Maksimum bermula 20 Mei untuk tempoh 15 hari bagi 11 jenis barang basah, berbanding tempoh 30 hari dan 27 barang basah ketika Pakatan Harapan (PH) mentadbir kerajaan sebelum ini.

Katanya, 11 barang basah tersebut pula hanya melibatkan kelapa, ayam, telur dan daging lembu, kerbau serta khinzir.

“Walaupun kawalan harga ini dapat sedikit sebanyak membantu mengurangkan masalah ini, namun ia tidak menyelesaikan punca utama kenaikan harga iaitu kekurangan bekalan makanan

“Oleh itu, kerajaan PN perlu memberikan tumpuan yang lebih, dalam meningkatkan penawaran dan bekalan bahan makanan dengan menyelesaikan masalah-masalah yang wujud di sepanjang rantaian bekalan.

“Ini termasuk menggalakkan pengeluar makanan meningkatkan kuantiti pengeluaran dengan insentif khas, memudahkan logistik penghantaran barang basah terutamanya antara negeri atau ‘interstate’,” katanya lagi.

Muhammad Faiz turut mencadangkan agar lokasi pasar tani di bawah FAMA dan pasar nelayan di bawah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dipelbagaikan terutamanya di kawasan ramai penduduk tanpa mengabaikan konsep penjarakan sosial.