Pelekat “Sayangi Sawitku”, “Love My Palm Oil” di bungkusan minyak masak peserta COSS

Pelekat  “Sayangi Sawitku”, “Love My Palm Oil” di bungkusan minyak masak peserta COSS

Peserta Skim Penstabilan Minyak Sawit (COSS) akan meletakkan pelekat “Sayangi Sawitku” dan “Love My Palm Oil” di bungkusan minyak masak sebagai tanda komitmen menjayakan kempen Sayangi Sawitku, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Setakat ini terdapat 23 pengilang dan 286 pembungkus terlibat di bawah skim COSS kendalian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

“Lebih membanggakan, penglibatan pembungkus dalam kempen ini tidak akan melibatkan kenaikan harga akhir minyak masak kepada pengguna,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan syarikat dibawah COSS di Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di sini hari ini, yang turut disertai Menteri Industri Utama Teresa Kok Suh Sim.

Saifuddin berkata pihaknya juga telah bertemu 286 pembungkus minyak masak pada minggu lepas bagi menyampaikan hasrat kerajaan agar mereka turut serta dalam kempen Sayangi Sawitku.

Kementerian Industri Utama melancarkan kempen Sayangi Sawitku pada Januari lepas untuk memupuk semangat kecintaan dan kebanggaan ke atas minyak sawit serta penghargaan terhadap sumbangan minyak sawit Malaysia kepada ekonomi negara.

Kempen itu akan memberi pendedahan kepada rakyat Malaysia mengenai kebaikan dan khasiat minyak sawit Malaysia serta peranannya dalam aspek pemeliharaan alam sekitar.

Kok pula berkata meletakkan pelekat  “Sayangi Sawitku” dan “Love My Palm Oil” serta pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MPSO) pada bungkusan minyak masak adalah antara inisiatif yang boleh dilaksanakan peserta COSS untuk menyebarkan kebaikan minyak sawit Malaysia.

Beliau berkata langkah itu dapat mendidik serta meningkatkan kesedaran pengguna terhadap minyak sawit untuk menyayangi dan menghargai komoditi itu.

“Kempen anti-sawit oleh EU (Kesatuan Eropah) menuntut semua pemain industri berganding bahu mempromosikan kemampanan minyak sawit Malaysia terutamanya kepada pengguna domestik,”katanya.- BERNAMA