Malaysia Dateline

Peletakan jawatan AJK PAC pembangkang belum rasmi, kata Speaker Dewan Rakyat

Peletakan jawatan semua ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dari Barisan Nasional (BN) dan Pas semalam dianggap tidak rasmi.

Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof berkata tiada surat peletakan jawatan yang diterima olehnya sehingga hari ini.

“(Setakat pagi tadi) saya belum terima lagi surat letak jawatan daripada mereka.

“Jadi, belum rasmi lagi perletakan jawatan mereka. (Surat) belum sampai di meja saya.

“Saya tidak tahu jika mereka dah hantar pada Setiausaha… saya belum tahu dan belum dapat lagi,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perletakan jawatan semua Ahli Parlimen pembangkang sebagai protes kepada keputusan kerajaan yang masih mengekalkan Datuk Seri Ronald Kiandee sebagai Pengerusi PAC.

Kata Mohamad Ariff lagi PAC masih lagi berfungsi seperti biasa walaupun beberapa AJKnya meletakkan jawatan  termasuk Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar dari Pakatan Harapan.

“PAC juga masih berfungsi (berjalan seperti biasa)…kita masih ada korum,” katanya.

Ditanya sama ada ahli yang meletak jawatan boleh kembali menjadi ahli jawatankuasa PAC, beliau berkata ia tertakluk pada peraturan mesyuarat.

“(Semuanya) bergantung pada peraturan tetap mesyuarat. Ada peraturan-peraturannya.

“Lagipun saya belum terima surat perletakan jawatan, jadi ia masih lagi ‘pramatang’,” katanya.

Semalam, anggota Jawatankuasa PAC dari blok pembangkang melepaskan jawatan mereka berkuat kuasa serta-merta.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dua Ahli Parlimen BN yang keluar daripada PAC itu ialah Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad dan Ahli Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah manakala daripada Pas, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan.

“Semua ahli PAC pembangkang letak jawatan dan berikan sepenuh kuasa kepada kerajaan. Kita tidak akan berada dalam PAC sehingga kerajaan berikan jawatan pengerusi daripada pembangkang,” katanya.