Malaysia Dateline

Pelihara keharmonian dan perpaduan kaum di Sarawak

Parti AMANAH Negeri Sarawak menyeru agar rakyat di negeri ini terus menjaga keharmonian dan perpaduan seperti yang dinikmati sekarang.

Timbalan Pengerusinya, Hud Andri Zulkarnaen berkata, rakyat Sarawak tidak kira etnik, bangsa, idealogi politik dan agama haruslah memilihara keharmonian dan perpaduan selari dengan mesej Rahmatan Lil Alamin.

Katanya, 2020 merupakan tahun baharu yang mencabar bagi Kepimpinan AMANAH Negeri Sarawak setelah melalui proses peralihan kepimpinan baru.

“Dengan peralihan tersebut, kepimpinan negeri berazam membawa mesej Rahmatan lil alamin’ serta sifat Bil Rahmah secara menyeluruh bukan sahaja di kalangan ahli malah kepada rakyat Sarawak agar kita mampu memupuk perpaduan, keharmonian serta kesejahteraan dalam masyakarat kita.

“Di samping itu, kami juga berazam untuk memperbanyakan program kebajikan rakyat bukan kerana menghadapi pilihanraya tetapi sebagai tanggungjawap sosial kami seperti disarankan oleh Islam iaitu Fastabiqul Khairat,” kata beliau dalam kenyataan sempena perutusan tahun baharu di Kuching pada Selasa.

Hud Andri turut memetik firman Allah S.W.T dalam surah Al-Baqarah ayat 148 yang bermaksud, “Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblatnya sendiri) yang mereka menghadap ke arahnya (ketika solat). Oleh itu, berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan kerana di mana sahaja kamu berada pasti Allah akan menghimpunkan kamu semua (pada Hari Kiamat untuk menerima balasan). Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

Seterusnya beliau menambah, setelah hampir dua tahun Kerajaan Pakatan Harapan (PH) berada dalam kerajaan, telah banyak usaha dilakukan demi kesejahteraan rakyat termasuk rakyat Sarawak dan Sabah.

“Wawasan Kemakmuran Bersama telah dijadikan satu platform agar seluruh rakyat Malaysia mampu menikmatinya bersama.

” Justeru AMANAH Sarawak melihat adalah amat penting dan sangat mengharapkan di ambang menyambut tahun baharu ini dan tahun-tahun baharu yang akan datang masyarakat berbilang bangsa ini menjauhi sikap perkauman kerana sikap ini bukan hanya membawa kepada keruntuhan masyarakat, ia juga menimbulkan kebencian antara satu sama lain malah merugikan kita semua.

“Jangan biarkan kita dirosakkan oleh pihak-pihak tertentu yang berfahaman sempit dengan menggunakan isu perkauman, kenegerian dan agama demi modal politik mereka.

“Maka, hanya kestabilan masyarakat majmuk ini sahaja yang mampu melonjak dan membawa bangsa dan negeri kita maju kehadapan,” tambahnya lagi.