Malaysia Dateline

Pelihara keutuhan Pakatan Harapan, seru AMANAH

Parti AMANAH Negara menyeru semua pihak dalam Pakatan Harapan (PH) supaya memelihara keutuhan gabungan tersebut.

Setiausaha Agung AMANAH, Mohd Anuar Mohd Tahir berkata, kejayaan PH menarik sokongan rakyat dan memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) pada 9 Mei lalu adalah disebabkan kesepakatan yang kukuh dalam kalangan parti komponen seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Keadilan Rakyat (Keadilan), Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP).

“Kesatuan yang kukuh ini pula dibantu dengan kewibawaan Majlis Presiden Pakatan Harapan yang dianggotai oleh para pimpinan yang berpengalaman dalam membuat sebarang keputusan dan tindakan secara kolektif melalui saluran demokratik.

“Justeru, AMANAH beranggapan bahawa kekuatan PH melalui keputusan dan tindakan bersama ini perlu dikekalkan dalam usaha untuk memastikan kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mampu mengharungi cabaran dan masalah yang ditinggalkan oleh pentadbiran lama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar beliau, sejak kebelakangan ini, tindakan beberapa anggota parti komponen PH yang saling berbalas mengeluarkan kenyataan media secara semberono dan tidak mengikut saluran yang betul amat mendukacitakan kerana berisiko untuk memecah-belahkan kesatuan ini.

“Sewajarnya, setiap ahli dan pimpinan parti komponen memahami bahawa setiap kenyataan begitu mudah dimanipulasi untuk merosakkan imej PH dan seterusnya menjejaskan sokongan rakyat.

“Sehubungan itu, setiap pihak dalam PH perlu menumpukan perhatian kepada pemulihan negara berbanding melayan polemik politik murahan yang dilancarkan oleh pihak tertentu dengan tujuan untuk memecah-belahkan kekuatan yang kita miliki,” kata Timbalan Menteri Kerja Raya itu.