Pelihara perpaduan untuk jayakan agenda Kemakmuran Bersama

Pelihara perpaduan untuk jayakan agenda Kemakmuran Bersama

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad berkata, soal perpaduan perlu menjadi keutamaan dan sentiasa ditekankan dalam kalangan rakyat negara ini.

Kata beliau, hanya dengan perpaduan negara ini akan beroleh kemajuan dan semua anggota rakyat tanpa mengira kaum dan agama akan mendapat manfaat daripada kemajuan tersebut.

“Hal ini jelas dinyatakan dalam konsep Kemakmuran Bersama yang telah dibentangkan baru-baru ini di mana konsep Kemakmuran Bersama ini bererti bahawa kita mahu mengusahakan sedaya upaya supaya tidak ada mana-mana pihak atau individu ketinggalan dalam pembangunan negara kita.

Orang ramai yang terdiri daripada berbilang kaum menghadiri majlis Sambutan Deepavali Harmoni 2019 di Brickfields hari ini.

“Ini juga bererti setiap individu dan setiap warganegara di Malaysia ini menyumbang ke arah pembangunan dan kemajuan yang dinikmati negara, mengikut keupayaan dan kebolehan masing-masing,” kata beliau dalam majlis Sambutan Deepavali Harmoni 2019 Peringkat Wilayah Persekutuan di Little India, Brickfields, Kuala Lumpur hari ini.

Ujar beliau lagi, Kemakmuran Bersama itu adalah inisiatif kerajaan hari ini untuk memastikan pengagihan kekayaan yang dimiliki kerajaan melalui sistem percukaian yang ada diagihkan secara adil kepada semua ahli masyarakat di negara ini.

Justeru tambah Pengarah Komunikasi AMANAH itu, konsep tersebut hanya dapat dijayakan dengan sempurna sekiranya rakyat di negara ini terus kekal bersatu padu seperti yang dinikmati ini.