Malaysia Dateline

Pelihara sumber air Ulu Muda

Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) serta Kerajaan Persekutuan sepatutnya menerima cadangan Pulau Pinang mengenai langkah segera yang harus diambil bagi melindungi dan memulihara Ulu Muda sebelum menubuhkan Lembaga Lembangan Sungai Muda atau MRBA.

Ketua Pegawai Eksekutif PBA Holdings Bhd dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang(PBAPP), Datuk Ir Jaseni Maidinsa (gambar) dalam kenyataan beliau berkata Ulu Muda adalah sumber air mentah untuk Empangan Muda, Pedu dan Ahning.

Maka itu katanya, beberapa langkah segera harus diambil oleh KASA dan Kerajaan Persekutuan termasuklah mengharamkan semua aktiviti pembalakan di Ulu Muda sebagai sebahagian dari lembangan air Sungai Muda atau kawasan tadahan air.

Katanya, sebarang aktiviti perlombongan yang boleh berlaku di Ulu Muda harus dihalang terutamanya eksplorasi perlombongan REE khususnya membabitkan bekalan air, risiko pencemaran tanah dan air mesti dielakkan dengan apa cara sekalipun.

Selain itu, Kedah perlu diberikan pampasan dengan dana Persekutuan setelah 163,000 hektar kawasan hutan hujan diwartakan, dilindungi dan dikategorikan sebagai ‘hutan tadahan air’ yang tidak dapat disentuh di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.

“Saya yakin Pulau Pinang menyokong pembayaran pampasan Persekutuan bagi Kedah sekiranya negeri tersebut komited sepenuhnya untuk melindungi dan memulihara Ulu Muda sebagai sumber air mentah Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER),” kata beliau.

PBAPP juga, katanya, berterima kasih kerana KASA mempertimbangkan dengan serius penubuhan sebuah lembaga lembangan sungai untuk menguruskan Sungai Muda kerana ia merupakan satu-satunya sumber air mentah utama Pulau Pinang ketika ini.

Tambah beliau lagi, sebagai jalan penyelesaian kepada pertikaian air mentah Pulau Pinang-Kedah, PBAPP mencadangkan ditubuhkan Lembaga Lembangan Muda (UMBA) bagi melindungi dan memulihara kawasan tadahan air Ulu Muda untuk NCER.

Walau bagaimana pun, ujar Jaseni, KASA perlu melihat gambaran yang menyeluruh dan memberi keutamaan kepada perlindungan yang betul dan pemuliharaan lestari Ulu Muda tatkala ini kerana boleh dikatakan ia merupakan komponen terpenting dari lembah Sungai Muda dan ia berada dalam keadaan terancam.

Caption foto : Ketua Pegawai Eksekutif PBA Holdings Bhd dan PBAPP, Datuk Ir Jaseni Maidinsa.