Malaysia Dateline

Pelik bila pemimpin pembangkang hentam Tun Mahathir, kata MP AMANAH

Tindakan sesetengah pemimpin pembangkang menghentam Tun Dr Mahathir Mohamad yang dicalonkan sebagai perdana menteri Pakatan Harapan (PH) disifatkan sebagai pelik oleh ahli parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin.

“Saya tak pelik jika Umno/BN maki dan hentam Tun, tapi pelik sikit lah jika yang pembangkang pun tumpang sekaki hentam Tun,” kata Hanipa dalam kenyataannya.

Mohamed Hanipa Maidin

Bagaimanapun, kata AJK AMANAH Nasional itu, itu lah realiti politik sekarang.

“Politik ini juga, sepertt kata Otto Van Bismarck, “is the art of the possible, the attainable- the art of the next best,” katanya yang bermaksud, ia serba mungkin.

Beliau dipercayai mengulas kenyataan yang dibuat oleh pemimpin pembangkang yang mempertikaikan perlantikan Mahathir dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, presiden PKR sebagai calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri PH.

Antaranya Ezam Mohd Nor dan Zuraidah Kamarudin, ahli parlimen Sepang.

Bagi Hanipa, politik Malaysia kadangkala agak mudah juga sifirnya.

“Jika Umno-BN suka dengan musuhnya, maknanya, musuhnya itu dah jadi macam kawan rapat Umno/BN dan bukan ancaman kepada mereka,” katanya.

Namun, katanya, jika Umno amat tidak suka dengan musuhnya, setiap hari ia akan maki, serang, hentam, kacau ganggu musuhnya itu.

“Jika itu berlaku, yakinlah musuh Umno/BN itu adalah ancaman besar kepadanya,” kata beliau.

Sebab itu, katanya, dia tidak rasa bimbang langsung jika hari-hari Umno-BN hentam dan maki Tun Mahathir.

“Contohnya kata Tun tak layak lah jadi PM, Tun akan rosakkan semula negara dan lain-lain.

“Maknanya, Tun tu dah jadi ancaman lah kepada Umno-BN,” kata Hanipa.

Logiknya, kata beliau, jika Mahathir tidak layak atau akan kembali rosakkan negara jika jadi calon semula, ia adalah bagus untuk parti pemerintah negara itu.

“Patutnya lebih baik diam je lah atau sokong Tun jadi PM (jika tidak bagus),” katanya.