Malaysia Dateline

Pelik jadi pemerintah tapi tidak mahu segerakan pembangunan, kata Presiden AMANAH

Agak pelik apabila seorang pemimpin negeri mendakwa pembangunan di Kelantan sengaja dilambatkan bagi memastikan rakyat mendapat manfaat sedangkan rakyat amat memerlukan pembangunan apatah lagi setelah 27 tahun ditadbir oleh parti yang sama.

Malah pembangunan juga mampu membuka peluang pekerjaan yang luas kepada golongan muda mahupun lepasan sekolah dan pusat pengajian tinggi.

Pembangunan yang pesat juga, kata presiden AMANAH Mohamad Sabu  berupaya meningkatkan keyakinan para pelabur sekaligus mampu menjana ekonomi negeri.

Mohamad ditemui selepas majlis mesra bersama penduduk di Kampung Keladi, Kulim, Kedah semalam.

Menurut beliau lagi, kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah bahawa kerajaan negeri mengakui pembangunan di negeri itu agak terkebelakang kerana disengajakan adalah sesuatu yang menghairankan kerana pemerintah yang baik akan menyegerakan pembangunan demi kebaikan rakyat apatah lagi setelah sekian lama memerintah negeri.

“Rakyat negeri Kelantan termasuklah negeri-negeri lain pun mahukan pembangunan dengan segera, apa lagi kalau sudah jadi kerajaan sejak 27 tahun lalu.

“Dengan rancaknya pembangunan peluang pekerjaan akan dapat diwujudkan dengan lebih banyak dan ini akan mengurangkan kadar pengangguran terutamanya bagi lepasan sekolah dan IPT, ” jelasnya.

Beliau juga berkata, melalui pembangunan yang diwujudkan juga akan membawa hasil kepada sesebuah negeri apabila pelaburan juga bertambah.

“Melalui pembangunan jugalah rakyat sesebuah negeri dapat menikmati pelbagai kemudahan yang mampu dilaksanakan.

“Saya yakin rakyat memberi mandat kepada mana-mana parti politik kerana mengharapkan nasib mereka dibela dan keluar dari kepompong kemiskinan.

“Sudah tentu rakyat Kelantan juga mahu merasai apa yang negeri lain dapat kecapi termasuklah pelbagai kemudahan infrastruktur, kemudahan asas dan seumpamanya, ” tegasnya.

Mohamad Sabu ketika berucap di majlis ceramah Pakatan Harapan di Kampung Keladi, Kulim.

Ujarnya lagi, sekiranya Kelantan membangun dengan pesat tidak dapat dinafikan ramai anak Kelantan yang berada di luar negeri ingin pulang memberikan khidmat dan kepakaran.

“Sepatutnya kerajaan negeri yang memerintah mempercepatkan pembangunan supaya ia dapat dikongsi bersama dengan rakyat yang tidak perlu berhijrah keluar.

“Rakyat Kelantan sudah pasti dahagakan pembangunan dengan harapan mereka agar kerajaan negeri yang memerintah begitu lama dapat membawa pembangunan yang lebih pesat.

“Ia juga akan membuka ruang yang lebih luas kepada usahawan kecil dan besar untuk sama-sama menikmati pembangunan yang dilaksanakan, ” katanya.

 

Sehubungan itu beliau yakin AMANAH dan Pakatan Harapan mampu melakukan perubahan sekiranya diberi mandat untuk menerajui kepimpinan bukan saja di negeri Kelantan malah diperingkat nasional.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Ketua AMANAH Padang Serai, Abdul Razak Salleh.

Mohd Amar baru-baru ini dilaporkan berkata, Kerajaan Pas Kelantan mengakui pembangunan negeri itu agak terkebelakang berbanding negeri lain dan “ia sesuatu yang disengajakan”.

Menurut naib presiden Pas itu, kerajaan Pas negeri mempunyai pendekatan tersendiri dalam menggerakkan pembangunan berbeza daripada negeri lain.

“Memang kita akui pembangunan fizikal negeri kita lambat. Kita sengaja melambatkan supaya kita nak pastikan pembangunan ini dapat dinikmati rakyat.

“Kalau kita cepatkan pembangunan, ambil dasar yang bebas kita boleh setanding dengan negeri seperti Selangor, tapi bahayanya kita risau rakyat akan ketinggalan.

“Orang kampung tak mampu turut dengan pembangunan,” katanya dalam ceramah isu-isu semasa Pas Kawasan Pengkalan Chepa, di Kota Bharu, lapor Malaysiakini.

Mohd Amar yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (Dun) Panchor berkata, dengan konsep pentadbiran Membangun Bersama Islam yang diamalkan sejak 27 tahun sudah banyak perubahan besar yang dilakukan oleh kerajaan negeri.

Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri mengambil pendekatan melakukan pembangunan yang dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat setempat.

“Kita mahu rakyat tempat dapat menikmati pembangunan, berbanding tempat lain yang membangun pesat tetapi rakyatnya terpaksa pindah dan lari,” katanya yang mengambil contoh kemajuan di Langkawi, Kedah.