Malaysia Dateline

Pelik, kumpulan pemuda ‘berbaju hitam’ dibenar masuk ke dewan Kongres AMK

Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Hilman Idham berasa pelik bagaimana sekumpulan pemuda ‘berbaju hitam’ yang tidak berdaftar dibenarkan masuk ke dalam dewan Kongres Tahunan AMK, pagi tadi.

Menurut Hilman, kumpulan pemuda berbaju hitam itu tidak berdaftar tanpa pas perwakilan dan juga pemerhati yang sah.

“Kita musykil macam mana ada sekumpulan pemuda berbaju hitam tidak berdaftar (tanpa pas perwakilan dan pemerhati yang sah) dan bawah umur boleh masuk memenuhi dewan kongres?

“Ada juga perwakilan yang menemui saya mengatakan mereka tidak dibenarkan masuk kerana tidak memakai baju Melayu. Bagi saya itu alasan remeh.

“Dan ini sesuatu yang amat mengecewakan kita kerana kongres ini menjadi medan muafakat bersatu padu, apatah lagi selepas pertemuan presiden dan timbalan presiden tempoh hari.

“Kita bermula dengan baik semalam, tetapi kejadian tidak diingini berlaku hari ini dan saya yakin ia tindakan terancang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media khas, hari ini berkaitan keselamatan kongres yang diadakan di D’Village Resort, Ayer Keroh kira-kira dua kilometer dari MITC.

Dalam isu sama, Hilman menjelaskan, ibu pejabat juga sudah memanggil pasukan RELA untuk menjaga keselamatan ketika kongres berlangsung.

“Tapi tak tahu kenapa anggota skuad keselamatan yang kita sendiri tak kenal pasti dari mana mereka datang, boleh menentukan ikut suka mereka membenarkan orang masuk ke dalam dewan.

“Ini tindakan yang tak sepatutnya berlaku. Kita adalah parti yang menjunjung tinggi peraturan dan perlembagaan,” ujarnya lagi.