Umum tahu, pendakwah bebas Ebit Lew, 38, kini sedang berdepan 11 pertuduhan, antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita dengan menghantar perkataan dan gambar lucah sekitar tahun 2021.
Atas sebab itu juga, dilaporkan beberapa perniagaan yang ditubuhkan pendakwah itu diambang kegoyahan dan kini menanti masa untuk ‘gulung tikar’.
Satu notis pemberitahuan dilaporkan sedang beredar di media sosial yang mendakwa kedai serbaneka Elews Mart akan ditutup secara berperingkat.
Menerusi notis tersebut, beberapa cawangan Elews Mart dimaklumkan sudah pun ditutup sejak 15 Januari lalu.
Notis berkenaan didakwa dikeluarkan oleh Elews Mart Sdn. Bhd. serta dikatakan ditujukan kepada pembekal premis tersebut.
“Adalah dimaklumkan bahawa Elews Mart Sdn. Bhd. akan menutup semua cawangan Elews Mart secara berperingkat bermula 15 Januari.
“Sehubungan itu, pihak kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat sepanjang kerjasama dijalankan untuk memastikan operasi cawangan kami berjalan lancar,” menurut notis tersebut yang bertarikh 15 Januari.
Bagaimanapun, tinjauan pada laman web Elews Mart Sdn. Bhd. tidak dipamerkan notis tersebut.
Pada masa sama, Facebook dan Instagram rasmi Elews Mart juga sudah lama tidak memuat naik hantaran atau promosi baharu dengan kali terakhir ialah pada 11 September 2023.
Tidak hanya itu, pengguna media sosial turut berkongsi maklumat sama, mendakwa cawangan Elews Mart di tempat mereka telah pun ditutup.
Antaranya cawangan di Bandar Baru Bangi dan Shah Alam.
“Elews Mart di Seksyen 7 Bandar Baru Bangi melabuhkan tirai. Sebelum ini di Bandar Baru Bangi, ada tiga cawangan gulung tikar,” dakwa pengguna Twitter.
“Cawangan di Shah Alam pun dah tutup dua minggu lepas. Sebelum ni tak salah nampak lori dah angkut habis semua,” dakwa pengguna yang lain.
Baca juga: Guna 2 bahan je ‘konfem’ blender bersih dan tak berbau, cepat cuba!