Malaysia Dateline

Pelik, melancong dan berjudi dikatakan patuh SOP

Kerajaan dinasihatkan supaya tidak mengamalkan SOP terpilih dalam situasi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuklah melibatkan rombongan yang melancong sepertimana rombongan pelancong dari Kedah ke Genting baru- baru ini.

Menurut Pengarah Komunikasi AMANAH Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria, kerajaan telah membuat keputusan membenarkan melancong walaupun merentas daerah atau negeri dengan syarat menggunakan kenderaan pelancongan dan bukannya kenderaan sendiri.

“Jika dalam sebuah bas mempunyai 40 penumpang sudah pasti tiada penjarakan sosial dapat dilaksanakan dan logiknya menggunakan kenderaan pelancongan tersebut lebih berisiko kepada penularan virus jika dibandingkan dengan kenderaan sendiri yang anggotanya merupakan ahli keluarga sendiri.

“Lebih pelik lagi apakala wujudnya 2 dalam 1 iaitu melancong dan berjudi serta lebih ajaib lagi apabila berjudi di pusat perjudian ada pula respon segera dengan kenyataan mereka yang berjudi itu patuh SOP, walhal solat berjemaah yang patuh SOP, penjarakan sosial dan memakai pelitup muka pun disaman dengan alasan berkumpul tanpa kebenaran.

“Perbezaan pelaksanaan SOP yang berbeza ini telah menyebabkan rakyat marah seolah-olah wujud SOP yang terpilih, sedangkan melancong merentas negeri itu sendiri sebenarnya pun bercanggah dengan matlamat SOP,” ujar beliau ketika dihubungi.

Malah tambahnya lagi, apabila merentas negeri tidak kira untuk melancong atau untuk ziarah keluarga, ianya adalah pergerakan keluar masuk dari kawasan merah ke kawasan hijau dan sebaliknya yang akhirnya semua akan menjadi merah.

Sejajar dengan itu katanya, apabila berterusan berlaku sedemikian maka rakyat sudah mulai hilang kepercayaan dan kredibiliti kepada kerajaan yang pada hakikatnya kerajaan ini adalah sebuah kerajaan yang gagal.