Malaysia Dateline

Pelitup muka di dagu, pengunjung bersesak ketika kes Covid-19 terus melonjak

Tinjauan Malaysia Dateline pagi ini mendapati beberapa peniaga pasar pagi di Bukit Sentosa dalam daerah Hulu Selangor tidak mengenakan pelitup muka dengan sempurna termasuk tidak menutup rongga hidung.

Seorang peniaga ikan dalam daerah berlabel zon kuning ini contohnya, memakai pelitup di dagu walaupun hampir kesemua pengunjung di pasar mengenakan pelitup dengan turut menutup hidung.

Ada peniaga sayur-sayuran kampung pula pelitupnya hanya menutup mulut dengan lubang hidung terdedah walaupun berada di lokasi tumpuan ramai dan berisiko tinggi untuk berlakunya jangkitan Covid-19.

Dalam masa sama, penjarakan fizikal dalam kalangan pembeli juga diperhatikan sukar dipatuhi apabila penjaga di ruang masuk pasar membenarkan kemasukan pengunjung terus-menerus tanpa mengambil kira pelanggan yang sudah sedia ramai di dalam kawasan tapak itu.

Keadaan itu dilihat sekali gus melanggar salah satu nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu 3S atau 3C berkenaan mengelak berada di tempat sesak dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Pelanggan di sebuah kedai berdekatan Masjid As-Salam Bukit Sentosa dilihat mematuhi SOP duduk di meja makan.

Setakat semalam, Hulu Selangor masih berada dalam zon kuning selain Sabak Bernam iaitu daerah yang mempunyai 1 hingga 20 kes positif Covid-19.

Namun, daerah bersempadan dengan Hulu Selangor iaitu Gombak berstatus zon merah dengan mencatatkan 14 kes baharu. Daripada 14 kes itu, lima kes dikesan di mukim Rawang yang bersempadan dengan mukim Serendah di Hulu Selangor.

Selain Gombak, lima lagi daerah berada dalam zon sama dengan paling ‘parah’ Klang apabila mencatatkan kes harian tertinggi mencecah 121 kes semalam.

Untuk rekod, Selangor negeri tertinggi di Semenanjung bagi kes harian positif Covid-19 dengan semalam sahaja 247 kes baharu dikesan menjadikan jumlah keseluruhan di negeri padat penduduk itu mencecah 6,001 kes.

Daripada 247 kes positif Covid-19 semalam, 96 kes melibatkan kluster sedia ada manakala 58 kes daripada kluster baharu, Teratai.

Sebanyak 65 daripada 247 kes semalam di Selangor juga dikesan hasil saringan kontak rapat kes positif Covid-19 dan baki 28 kes lagi daripada lain-lain saringan.

Di peringkat nasional, Malaysia terus menyaksikan jumlah kes positif Covid-19 empat angka bagi lima hari berturut-turut apabila sebanyak 1,168 kes baharu direkodkan semalam.

Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 39,357 kes setakat jam 12 tengah hari semalam manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 sebanyak 11,666 kes.

Ekoran itu, Putrajaya menguatkuasakan kembali Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai esok sehingga 6 Disember ini membabitkan kira-kira 26 juta penduduk di 10 buah negeri kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan.

Selain Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya dan Sabah yang telah dikenakan PKPB sebelum ini, negeri lain yang turut tersenarai termasuk Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Terengganu.