Malaysia Dateline

Peluang anak petani, peladang jalani latihan industri

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) serta agensi-agensi di bawahnya dilihat berpotensi menjadi platform bagi membantu anak-anak petani dan peladang mendapatkan latihan industri yang bersesuaian.

Ketua Setiausahanya, Datuk Zainal Azman Abu Seman berkata, dengan cadangan berkaitan program latihan industri itu, beliau percaya anak-anak petani dan peladang boleh berminat untuk mendalami ke arah sektor tersebut.

“Saya percaya melalui program praktikal yang mungkin kita harus perincikan, mungkin tiga bulan ke enam bulan kerana di bawah MOA pada masa ini, kami mempunyai beberapa program seperti di bawah Industri Asas Tani (IAT) dan Usahawan Agropreneur Muda (UAM).

“Saya rasa kumpulan sasar daripada pelajar-pelajar cemerlang atau anak anak petani adalah bersesuaian, kerana mereka ini memang didedahkan dengan bidang tugas keluarga mereka iaitu dalam peladangan dan pertanian dan ia mungkin telah memberi minat yang tertentu.

“Jadi, mungkin dengan pengalaman dan latihan, kita juga boleh membentuk mereka supaya lebih berminat untuk menyertai sektor pertanian dan asas tani ini.

“Penempatan ke program praktikal di kementerian dan jabatan bersesuaian ini akan membentuk minat kepada anak peladang mengenai peluang kerjaya,” jelasnya.

Datuk Zainal Azman Abu Seman

Zainal berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Perdana Yayasan Pelajaran Peladang bagi tahun 2019 di Ibu Pejabat Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), di Kota Damansara, hari ini.

Seramai 19 anak ahli peladang dari seluruh negara yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.50 dan ke atas mendapatkan sumbangan berupa wang ringgit di atas kecemerlangan dalam akademik.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha MOA, Datuk Haslina Abdul Hamid; Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Nafas merangkap Pengerusi Yayasan Pelajaran Peladang, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi dan Pengurus Besar Nafas, Ahmad Shaari.

Dalam pada itu, Phahrolrazi yang juga Pengerusi AMANAH Kedah menyambut baik cadangan berkenaan kerana pihaknya mempunyai satu peruntukan yang dipanggil kumpulan wang.

“Peruntukan itu diambil 25 peratus daripada keuntungan dan ia digunakan sebagai pemberian elaun kepada pelajar latihan industri.

“Sebenarnya, ada satu bahagian dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini iaitu bahagian pembanguan modal insan.

“Kita boleh masukkan mereka ke situ. Selain itu, mereka juga boleh dimasukkan dalam kursus-kursus berkaitan pertanian.

“Jadi, mereka akan bertugas di ibu pejabat Nafas sama ada di peringkat Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) atau Pertubuhan Peladang Kebangsaan (PPK).

“Dengan cara sedemikian, ia akan mendedahkan mereka bagaimana sebenarnya pertanian di peringkat pertubuhan Peladang,” kata Phahrolrazi lagi.

Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi