Peluang isi kesebelasan utama Melaka United masih terbuka

Peluang isi kesebelasan utama Melaka United masih terbuka

Ketua Jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan berkata peluang untuk semua pemain Melaka United mengisi kesebelasan utama pasukan itu masih terbuka dan sehingga kini tiada satu pun pemain dapat memastikan tempat sebagai ‘anggota tetap’ kesebelasan itu.

Bagaimanapun, beliau mengakui kini mempunyai bayangan kesebelasan utama dalam skuad bimbingannya menjelang aksi sulung saingan Liga Super awal Februari ini.

Katanya selepas tujuh perlawanan pra musim termasuk jelajah Vietnam baru-baru ini, pemain telah menunjukkan prestasi dan keupayaan mereka dengan membentuk keserasian dalam pasukan selain mempamerkan corak permainan yang lebih meyakinkan.

“Saya telah nampak siapa pemain yang berada dalam senarai kesebelasan Melaka United, namun tiada seorang pemain yang telah memastikan tempat mereka dalam senarai itu buat masa kini.

“Saya perlu melihat dan menilai setiap pemain yang cemerlang serta berusaha memberikan komitmen mereka dalam setiap latihan,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan persahabatan pra musim antara Melaka United dan Sarawak, di Stadium Hang Jebat, di sini, malam tadi.

Pada aksi itu, Skuad Sang Kancil berjaya menundukkan pasukan Bujang Senang 3-0, menerusi jaringan Darko Markovic pada minit ke-22 dan Anselmo Casagrande di minit ke-25 sebelum Markovic menambah satu lagi jaringan pada babak kedua permainan minit ke-48.

Zainal berkata kemasukan dua pemain import yang sedang diuji, Liridon Krasnisqi dari Kosovo serta pemain kebangsaan Filipina, Patrick Riechelt buat pertama kali dalam pasukan turut memberi impak dan cepat menyesuaikan diri walaupun tidak mengikuti pasukan ke Vietnam.

Pengendali berasal dari Selangor itu berkata, kehadiran dua pemain tengah itu dilihat melengkapi pasukan dan memerlukan sedikit masa lagi untuk mendapatkan lebih persefahaman sesama sendiri selain melihat mutu persembahan anak-anak buahnya kian meningkat.

“Pada perlawanan ini kita tidak nampak begitu cacat, saya berpuas hati dengan persembahan pasukan, namun dalam permainan bola sepak apa yang penting ialah kita perlu sentiasa memperbaiki permainan,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai bekas pemain import Kedah itu, beliau menyifatkan Liridon seorang pemain berpengalaman serta mempunyai kemahiran tinggi dan mudah menyesuaikan diri dengan pasukan kerana dalam bola sepak bukan bermain secara individu.

— BERNAMA