Peluang menang walau tiga penjuru, kata Nasrudin

Peluang menang walau tiga penjuru, kata Nasrudin

Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan mengganggap partinya masih berpeluang untuk menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) walaupun wujud pertembungan tiga penjuru.

Beliau berkata, pertandingan tiga penjuru tidak semestinya memberi kemenangan besar kepada Umno-BN ekoran perkembangan politik yang berbeza berbanding pilihan raya sebelum ini.

“Pas melihat peluang terhidang besar di hadapan untuk kita mencapai kemenangan banyak kerusi parlimen pada pilihanraya nanti,” katanya pada sidang media di Dewan Komuniti Bukit Damansara di ibu negara hari ini.

Bagi PRU14 ini, Nasrudin memberitahu partinya dijangka bertanding di lebih 100 kerusi Parlimen dengan 40 kerusi daripadanya adalah ‘mudah menang’.

“Cuma 40 (kerusi) itu kita sasarkan menang dan mudah menang. Kita perlu menang lebih lagi antara 60 hingga 80 kerusi ke atas berdasarkan kerja kuat jentera parti,” jelasnya.

Terdahulu, beliau menghadiri Konvensyen Pilihan Raya Pas Wilayah Persekutuan.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Wilayah Persekutuan, Mohamad Noor Mohamad memberitahu Pas akan meletakkan calon di sembilan daripada 13 kerusi di Parlimen tersebut.

Kerusi tersebut termasuk Parlimen Batu diwakili Naib Presiden PKR, Tian Chua yang sebelum ini diketahui memberi sokongan kepada Pas termasuk menghadiri ceramah Pas.

Pas turut berhasrat bertanding di Lembah Pantai yang pada masa ini disandang Nurul Izzah Anwar bahkan di Bandar Tun Razak yang diwakili bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Kerusi-kerusi lain adalah Segambut, Titiwangsa, Putrajaya, Labuan, Wangsa Maju dan Setiawangsa.

Keputusan Pas itu, ujar Mohamad Noor, ekoran tindakan Majlis Syura Ulama membatalkan tahaluf siyasi dengan PKR selain menganggap wujudnya peningkatan sokongan terhadap Pas.

“Kita lihat sokongan terhadap Pas semakin meningkat terutamanya di kalangan orang Melayu Islam, di samping kita masih lagi mendapat sokongan pengundi bukan Islam,” katanya.

Beliau bahkan yakin Pas akan menang walaupun bertanding di Segambut yang bukan kawasan majoriti Melayu.

“Sasaran pertama sudah tentulah daripada pengundi Islam untuk undi Pas di Segambut disamping undi orang Cina dan India, kerana tidak semua mengundi DAP,” dakwanya ketika ditanya pemberita.

Keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 pada empat tahun lalu menyaksikan Pas gagal memenangi sebarang kerusi di Wilayah Persekutuan walaupun ketika itu berkerjasama dengan parti pembangkang lain di bawah Pakatan Rakyat.

COMMENTS

Wordpress (0)