Malaysia Dateline

Peluang terakhir Ismail Sabri selamatkan reputasi sebagai PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu mendapatkan persetujuan Kabinet dalam mesyuarat Rabu ini untuk menamatkan perkhidmatan Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata, penamatan jawatan perlu dilakukan sekiranya Azam Baki tidak bersedia untuk hadir memberi keterangan di hadapan Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) mengenai Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk menjawab persoalan mengenai konflik kepentingan yang membabitkan dirinya.

Menurut Lim, ini juga merupakan peluang terakhir Ismail untuk menyelamatkan reputasinya sebagai perdana menteri daripada terus dilabel sebagai kakistokrasi.

“Beliau juga perlu meminta Jemaah Menteri untuk memutuskan bagi mengadakan sidang Parlimen Khas pada 21 Januari untuk memulihkan keyakinan orang ramai terhadap badan pencegahan rasuah kerajaan.

“Selain itu, putuskan sama ada akan membahaskan atau tidak laporan Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri mengenai skandal Azam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lim menambah, Kabinet harus memutuskan untuk mengadakan sidang khas Parlimen selama dua hari iaitu pada 20 Januari mengenai bencana banjir dan pada 21 Januari mengenai skandal membabitkan Azam Baki.

Kabinet perlu membuat keputusan selanjutnya bahawa pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM akan dipertimbangkan dan dinilai oleh PSC mengenai Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri secara dwipartisan selaras dengan keputusan Kabinet pada 13 Ogos 2018 dan 31 Julai 2019, tambahnya.