
Pelumba Malaysia dalam MotoGP bukan lagi mimpi, kata Mahathir
Melihat pelumba tempatan dan pasukan negara beratur di grid (petak) pada hari perlumbaan MotoGP Dunia tidak lagi menjadi satu impian untuk rakyat Malaysia, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Malah, Perdana Menteri berkata rakyat Malaysia perlu berbangga dengan pencapaian terbesar memiliki pasukan MotoGP sendiri, iaitu Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) serta melihat pelumba Malaysia bertarung dengan pelumba bertaraf dunia pada saingan kejuaraan dunia itu.
“Ia merupakan langkah besar ke hadapan dalam sukan permotoran di negara ini. Melihat pelumba Malaysia beratur di grid pada hari perlumbaan tidak lagi menjadi mimpi.
“Tahun ini, kita mempunyai anak Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah dalam kelas MotoGP dan Adam Norrodin dalam Moto2 dan sudah tentu pasukan Malaysia, Petronas Yamaha SRT, bersaing dengan jaguh dunia dalam ketiga-ketiga kelas,” kata Dr Mahathir seperti yang dipetik dalam buku program rasmi Shell MotoGP Grand Prix (GP) Malaysia 2019.
Tahun ini, merupakan ulang tahun ke-20 GP Malaysia berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang turut menjadi venue perlumbaan Formula Satu (F1) selama 19 tahun sehingga 2017.
Dr Mahathir merupakan penggerak industri pembangunan sukan permotoran negara dengan merasmikan Litar SIC pada 9 Mac 1999.
Perdana Menteri berkata perkembangan tersebut ditambah dengan penambaikan kemudahan yang berterusan, sokongan dan penglibatan rakan korporat dan agensi serta peneraju utama acara itu, Shell Malaysia, telah menjadikan GP Malaysia itu sebagai satu daripada perlumbaan GP paling popular dalam kalender dunia.
Litar SIC menerima Anugerah Grand Prix Terbaik daripada Suruhanjaya Grand Prix pada 2012 dan 2017.
Tahun lalu, GP Malaysia mencatatkan rekod dengan kehadiran169, 827 penonton sepanjang perlumbaan tiga hari itu.
“Saya percaya kita boleh mencapai satu lagi kejayaan tahun ini…terima kasih kepada sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada peminat dari jauh dan dekat. Sekali lagi saya mengalu-alukan kedatangan semua peminat dan penonton ke Grand Prix Motosikal Shell Malaysia 2019.
“Saya harap anda akan menikmati waktu yang menyeronokkan di Malaysia serta menikmati kepelbagaian budaya yang negara kami menawarkan,” kata Dr Mahathir.
Perlumbaan MotoGP GP Malaysia bermula hari ini hingga Ahad.