Malaysia Dateline

Datuk Seri Mohd Najib Razak

Pelumba MotoGP mohon cap dagang ‘BO55KU’

Sebelum “bossku” popular seperti sekarang, pelumba MotoGP negara Hafizh Syahrin Abdullah sudah memohon mendapatkan sijil cap dagang perkataan “BO55KU.”

Dimohon pada 30 Ogos lalu, pemuda 24 tahun itu berbuat demikian kerana tidak mahu orang lain “ambil untung” atas nama tersebut yang menjadi produknya, lapor Sinar Harian.

“Saya memang ambil serius tentang cap dagang ‘BO55KU’ pada cenderamata kerana sebelum ini ramai yang ambil mudah dan remeh tentang produk saya.

“Saya tidak mahu orang ambil untung atas nama dengan menjual cenderamata tidak berkualiti,” katanya, yang mendakwa menggunakan perkataan itu sejak 2018.

Portal itu juga melaporkan jurucakap Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) mengesahkan permohonan “BO55KU,” angka 55 itu sempena tarikh lahirnya 5 Mei 1994.

Permohonan yang dibuat Hafizh di bawah Kelas 25 seperti pakaian, kasut, topi dan semua perkara dalam kategori tersebut dan tidak salah “bossku” diguna untuk tujuan lain.

Dilaporkan asalnya perkataan yang dituturkan di Sabah, ungkapan “bossku” kini popular setelah bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak memakai label “malu apa bossku.”