Malaysia Dateline

Pelupusan vesel nelayan asing bukti ketegasan Kerajaan

Pelupusan vesel nelayan asing adalah isyarat tegas kerajaan yang mahu mempertahankan kedaulatan perairan negara dan memastikan sumber perikanan terus terpelihara daripada nelayan asing.

Perkara itu disuarakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub yang turut serta menyaksikan Pelupusan Bot Nelayan Asing Yang Menceroboh ke Perairan Malaysia, berhampiran perairan Pulau Kapas, Terengganu, semalam.

Salahuddin berkata, sebanyak 5 vesel nelayan asing telah ditenggelamkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) hasil daripada rampasan yang dilakukan melalui Ops Naga baru-baru ini.

Salahuddin  Ayub melihat sebahagian daripada bot versal yang akan ditenggelamkan.-Foto LKIM

“Ops Naga yang dijalankan sejak April 2019 telah berjaya menahan 128 vesel nelayan asing dengan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM12 juta.

“Melalui tindakan ini juga, kerajaan berharap dapat mengurangkan ketirisan bekalan ikan yang dianggarkan sebanyak RM6 bilion setahun akibat pencerobohan nelayan asing,” katanya kepada media dalam program tersebut.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Sallehuddin Hassan; Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Munir Mohd Nawi dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil.

Susulan program yang dijalankan semalam, Faiz turut melahirkan penghargaan di atas ketegasan kerajaan mengekang pencerobohan perairan negara demi menjamin kepentingan nelayan yang terjejas teruk hasil tangkapan mereka akibat pencerobohan.

“Saya berharap dengan operasi tegas ini, pendapatan nelayan tempatan akan meningkat dan bekalan ikan di pasaran tempatan juga dapat dipertingkatkan bagi menjamin harga ikan yang lebih berpatutan kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Program semalam menyaksikan proses pelupusan 5 buah bot rampasan asing yang telah dilucuthak di bawah Akta Perikanan 1985 melalui kerjasama Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dan APMM.

Salahuddin Ayub (kiri) sedang meneliti maklumat ringkas berkaitan bot versal bersama anggota APMM.-Foto LKIM