Malaysia Dateline

Pemadam perlu pertingkatkan kerjasama dengan semua pihak

Semua kepimpinan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) diseru supaya mempertingkatkan kerjasama dengan semua pihak termasuk agensi-agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta supaya pendidikan pencegahan dadah dapat sampai ke segenap lapisan masyarakat.

Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Yang Dipertua Pemadam Datuk Mohd Azis Jamman berkata program dan aktiviti Pemadam seharusnya diperluaskan di semua sekolah, kolej dan universiti.

“Bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sekiranya pendidikan pencegahan mengenai dadah dapat kita mulakan pada peringkat ini, saya percaya jumlah penagihan dadah di negara ini dapat dikurangkan,” katanya dalam ucapan Majlis Makan Malam sempena Perasmian Perhimpunan Agung Tahunan Pemadam ke-44 oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas malam tadi.

Beliau turut menyeru semua kepimpinan Pemadam baik di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah agar menggunakan platform Pemadam ini dengan sebaiknya untuk mencapai matlamat iaitu Malaysia Bebas.

“Marilah kita sama-sama bertindak menyusun strategi yang berkesan bagi mencapai satu matlamat, satu pencapaian, satu harapan iaitu Malaysia Bebas Dadah,” katanya.

Azis berkata setiap ahli Pemadam perlu inovatif dan kreatif dalam memberikan pandangan dan idea ke program-program yang ingin dianjurkan.

“Semoga pemuafakatan, komitmen dan pengupayaan yang menyeluruh diberikan dalam melaksanakan perancangan Pemadam dalam meneruskan program pendidikan pencegahan dadah,” katanya.

— BERNAMA