Malaysia Dateline

PEMADAM Selangor anjur program Sumbangan Kasih Ramadhan, bantu golongan memerlukan

Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Negeri Selangor akan menganjurkan program Sumbangan Kasih Ramadhan demi membantu golongan Orang Kena Pengawasan (OKP), asnaf dan yang tidak berkemampuan.

Setiausaha Kehormat PEMADAM Negeri Selangor, Daing Muhammad Reduan Bachok berkata, program tersebut akan dijalankan dengan kerjasama Skuad Penerangan Komuniti (SPEAK) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Selangor.

“Sumbangan Kasih Ramadhan ini mensasarkan kira-kira 5,200 orang melibatkan 1,300 keluarga di seluruh daerah di Selangor. Ia pastinya menggarap segenap tenaga dan implikasi kewangan yang tinggi.

“Justeru, marilah kita menzahirkan rasa kasih melalui Sumbangan Kasih Ramadhan ini untuk saling membantu golongan yang memerlukan dalam menyambut bulan mulia ini.

“Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Amirudin Shari selaku Menteri Besar Selangor merangkap Penaung dan Pengerusi PEMADAM Negeri Selangor, menerusi Pengerusi PEMADAM Daerah Negeri Selangor akan menyerahkan sumbangan berkenaan menerusi satu majlis yang akan diumumkan kelak,” katanya.

Beliau mengumumkan program tersebut melalui satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pihaknya.

Sehubungan itu, PEMADAM Negeri Selangor mengalu-alukan orang ramai untuk menyalurkan sumbangan serendah RM50 agar golongan OKP, warga emas dan asnaf terpilih dapat terus bersahur dan berbuka dalam melaksanakan Rukun Islam ketiga ini.

Sumbangan Kasih boleh dilakukan melalui akaun MAYBANK PEMADAM NEGERI SELANGOR bernombor 0121 0132 3712 dengan tanda nota Kasih Ramadhan.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai juga boleh menghubungi Sarah di talian 011 2722 4764 (Whatsapp sahaja) atau melayari Facebook/Twitter Pemadam Negeri Selangor.