Pemain badminton negara disekat masuk India, tarik diri dari kejohanan lepas ‘diusir’ pulang

Oleh WAN SITI AMINAH

Belum sempat beraksi di Terbuka India, pasangan beregu badminton negara iaitu Teo Ee Yi dan Ong Yew Sin terpaksa menarik diri daripada kejohanan tersebut.

Hal ini berpunca daripada salah seorang pemain iaitu Ee Yi yang dilarang melepasi ‘imigresen’ India meskipun sudah sampai ke negara itu dengan menaiki pesawat.

Menerusi perkongsian di Instastory, Ee Yi mengakui kejadian itu berlaku disebabkan oleh kesalahannya sendiri yang menggunakan pasport lama untuk memohon e-visa.

Akibatnya, pasangan pemain profesional itu terpaksa menarik diri daripada kejohanan badminton Terbuka India selepas dihantar pulang semula ke tanah air.

“Sebab sendiri punya kesalahan. Buat permohonan E-visa pakai pasport lama. Jadi sekarang tak boleh masuk India, mereka (pihak imigresen) cakap nak hantar saya pulang.

“Sekarang, tengah cuba buat visa kecemasan. Kalau tak boleh juga, maka terpaksa tarik diri dari (kejohonan) Terbuka India,” tulis pemain badminton itu di Instastory.

Dalam hantaran yang terbaharu, Ee Yi mengesahkan dirinya dan pasangan terpaksa menarik diri daripada kejohonan dengan memuat naik satu gambar dalam pesawat.

Jaguh badminton yang dihantar pulang ke Malaysia itu turut tampil memohon maaf di Instastory ekoran tidak dapat mewakili negara dalam kejohonan terbuka tersebut.

“Pertamanya, terima kasih kepada Kedutaan Malaysia kerana menolong saya dan juga sesiapa yang membantu dan bimbang dengan diri ini. Malangnya, tiada apa yang boleh kami lakukan.

‘Mereka memutuskan untuk menghantar saya pulang dan sekarang sudah berada dalam pesawat. Mohon maaf kepada semua, ini kesilapan saya dan pada akhirnya, kami perlu menarik diri daripada menyertai Terbuka India.” Kesalnya.

Penarikan diri daripada kejohanan Terbuka India ini memberikan tamparan hebat kepada  pasangan beregu yang berada dalam misi untuk layak ke Sukan Olimpik, Paris itu.

Hal ini berikutan mereka perlu menembusi kedudukan lapan teratas sebelum tempoh kelayakan tamat pada April ini untuk melayakkan diri ke temasya sukan berprestij itu.

Terdahulu, Ee Yi dan Yew Sin tersingkir di suku akhir selepas kalah dengan beregu badminton Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi di Terbuka Malaysia 2024, minggu lalu dengan mata 15-21, 9-21.

Baca juga: Pelanggan terkejut warung di Langkawi caj RM20 untuk ayam goreng kunyit, harga pula tak termasuk nasi putih