Malaysia Dateline

Pemain bandar pintar bekerja secara ‘ silo’ halang pembangunan bandar pintar

Terlalu banyak pemain bandar pintar yang bekerja secara sendiri (silo), dan ini sekali gus menghalang pembangunan bandar pintar secara keseluruhannya, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata untuk mengatasi isu itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah memperkenalkan Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia, yang terdiri daripada tiga peringkat penyertaan kerajaan dan sektor swasta untuk menyelaraskan pembangunan bandar pintar di Malaysia.

Dr Mahathir berkata kepentingan ke arah menjadikan Malaysia sebagai bandar pintar adalah antara perkara yang menjadi keutamaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

“Bandar Pintar menetapkan keupayaan bandar untuk bertindak dengan seberapa segera yang mungkin terhadap isu dan cabaran warganya, ia telah wujud selama hampir 30 tahun tetapi masih menjadi topik yang berterusan kerana pembangunan bandar pintar adalah penting dan sentiasa berubah dengan teknologi baharu dan penciptaan.

“Oleh itu, kita membayangkan bandar-bandar pintar yang disepadukan dengan teknologi lestari dalam perkhidmatan bandar seperti penyambungan 5G, komuniti tanpa tunai, pengangkutan awam autonomi, penyerahan dron, bangunan yang cekap tenaga, rawatan air pintar dan pengurusan sisa yang dapat meningkatkan keselamatan masyarakat dan kualiti hidup rakyat kita, “katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika melancarkan Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia serta Persidangan dan Pameran Cities 4.0 2019 di sini, hari ini.

Ucapan beliau disampaikan melalui rakaman video pada majlis pelancaran itu, yang turut dihadiri Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Dr Mahathir berkata, kerajaan memberi sokongan penuh dalam meletakkan asas bagi membina bandar pintar seperti yang dilihat pada Program Kembara Digital Malaysia yang dilancarkan baru-baru ini, di mana rakyat boleh menikmati sambungan digital yang berkualiti tinggi dan mampu milik.

“Dengan memanfaatkan Rancangan Fiber dan Sambungan Kebangsaan, saya bercita-cita untuk melihat Bandar Pintar berkembang dengan efisien sebagai Wilayah Pintar,” katanya.

“Matlamat saya adalah untuk menyelesaikan isu ini dengan melaksanakan inisiatif Bandar Pintar.

“Kita boleh menggunakan penyelesaian bandar digital untuk membangunkan sistem mobiliti yang berfungsi, berdaya tahan dan efisien tetapi kita mesti ingat yang matlamatnya masih mengenai kemakmuran dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Untuk rekod, Selangor dan Pulau Pinang adalah dua negeri yang akan melaksanakan bandar pintar manakala Kota Kinabalu (Sabah), Kuching (Sarawak), Kuala Lumpur, Iskandar ( Johor) dan Kulim (Kedah) adalah bandar-bandar yang sedang dibangunkan.– BERNAMA