Pemain boling elit Malaysia ungguli Terbuka Thailand

Pemain boling elit Malaysia ungguli Terbuka Thailand

Dua pemain boling elit negara – Adrian Ang dan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, menampilkan aksi cemerlang untuk merangkul gelaran stepladder lelaki dan wanita pada Kejohanan Tenpin Boling Terbuka Antarabangsa Thailand ke-45 di Bangkok, hari ini.

Ang, yang mengungguli kedudukan keseluruhan pada pusingan kelayakan, menewaskan Billy M. Islam dari Indonesia; 217-193 jatuhan pin, manakala Siti Safiyah Amirah menumpaskan rakan sepasukan, Nerosha Keligit; 257-216 dalam stepladder final wanita, demikian menurut laman sesawang Persekutuan Boling Asia (ABF); www.abf-online.org.

Susulan pencapaian itu pada kejohanan berlangsung di Blu-O Rhythm and Bowl di Siam Paragon, Ang meraih hadiah wang tunai RM45,318, manakala Siti Safiyah Amirah membawa pulang RM16,831.

Terdahulu, pemain pelapis lelaki negara, Muhammad Shafiy Zaim menjuarai kategori Bawah 21 pada 8 April lepas.- BERNAMA