Pemanasan global adalah isu yang semakin serius saban tahun, ditambah dengan cuaca yang tidak menentu dan bongkah ais yang cair di Kutub Utara akibat penipisan ozon.
Perubahan iklim dunia yang drastik ini sedikit sebanyak menyumbang kepada bencana bah yang teruk membadai Pantai Timur Semenanjung Malaysia apabila kawasan yang jarang dinaiki air sebelum ini turut terjejas akibat banjir baru baru ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi berkata, punca banjir secara saintifiknya adalah disebabkan kedudukan negara beriklim tropika ditambah pula Malaysia adalah negara maritim.
“Saya melihat melalui aspek saintifik, kita tahu negara kita adalah negara maritim dan beriklim tropika, malah pantai di Sabah dan Sarawak juga dikelilingi oleh laut.
“Melihat kepada kes di Batang Kali, ia berpunca daripada hakisan bawah tanah kerana terdapat dua laluan air yang menyebabkan rekahan dan akhirnya tanah runtuh berlaku,” katanya dalam temubual bersama BN Comms.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menyatakan bahawa pemanasan global salah satu faktor utama banjir yang lebih besar berlaku disebabkan bongkah ais yang mencair sekali gus meningkatkan paras air laut.
“Di kawasan Bagan Datuk umpamanya, paras air laut lebih tinggi daripada paras bumi.
“Ertinya, jika berlaku hujan lebat diikuti pasang besar, maka air laut itu tidak dapat dikeluarkan dari sungai ke laut kerana paras air laut itu tinggi, maka berlaku apa yang dipanggil banjir termenung,” tambahnya lagi.
Antara solusi yang dapat diberikan Menteri Pembangunan Desa dan Wilayah itu adalah pembelian pam dengan melihat kuasa dan berapa liter air yang boleh dipam dalam masa seminit, itu antara kajian saintifik yang harus dibuat.
Kajian juga perlu dibuat ke mana air tersebut perlu dipam jika daratan itu lebih rendah daripada laut, seperti apa yang berlaku di Rantau Panjang, Pasir Mas atau tumpat baru-baru ini, yang menghadapi masalah sama
Beliau juga memberi gambaran situasi di Jakarta, Indonesia yang sering mengalami banjir disebabkan muka bumi ibu negara itu lebih rendah daripada aras laut.
Berdasarkan kajian saintifik, pemanasan global ini akan menenggelamkan lebih 50 peratus pulau di Lautan Atlantik, Lautan Hindi atau lautan lain pada tahun 2050.
BACA JUGA ‘Jangan kata sekali dalam 100 tahun, esok lusa pun boleh berlaku banjir luar biasa’