Pemandu e-hailing belum mematuhi tuntutan, dibenarkan memandu tetapi bersyarat

Pemandu e-hailing belum mematuhi tuntutan, dibenarkan memandu tetapi bersyarat

Semua pemandu e-hailing yang masih belum mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak kerajaan, dibenarkan untuk meneruskan operasi selama tiga bulan lagi mulai hari ini.

Bagaimanapun, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, menjelaskan jemaah menteri telah memuktamadkan supaya penguatkuasaan peraturan perkhidmatan e-hailing yang bermula hari ini, dilaksanakan melalui pendekatan ‘soft landing’.

Sehubungan itu, beliau berkata, untuk tempoh tiga bulan mulai hari ini, pemandu yang memandu tanpa lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) atau tidak memenuhi syarat, akan diberi nasihat, pendidikan dan amaran akhir supaya melengkapkan semua peraturan.

“Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengambil pendekatan penguatkuasaan berbentuk mendidik secara berperingkat kepada pemandu-pemandu e-hailing.

“Setakat semalam, sebanyak 31 buah syarikat Perniagaan Perantaraan (EHO) telah diluluskan permohonan untuk mendapatkan Lesen Perniagaan Pengantaraan (LPP) dari Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, Anthony memaklumkan, sebanyak 17,596 e-hailing Vehicle Permit (EVP) teksi dan 13,380 EVP kenderaan persendirian telah dikeluarkan.

Katanya, jumlah tersebut akan meningkat dari masa ke semasa setelah semua pemandu selesai mendapatkan lesen PSV masing-masing.

“Sebanyak 31,371 calon telah mendaftar menduduki kursus dan ujian PSV di 226 Institut Memandu (IM) di seluruh negara. Daripada jumlah itu, sebanyak 25,248 calon telah melengkapkan sesi kursus dan 19,891 telah lulus ujian PSV.

“Seramai 16,528 calon telah menghadiri kursus PSV yang dijalankan oleh EHO sendiri. Daripada jumlah tersebut, seramai 3,090 calon telah lulus ujian berkenaan menjadikan secara keseluruhan calon yang lulus adalah seramai 22,981.

“Penguatkuasaan peraturan dan syarat-syarat pendaftaran/pelesenan perkhidmatan pengendali/pengantara akan dilakukan sepenuhnya ke atas pihak EHO. Kerajaan berharap agar semua EHO dan pemandu e-hailing mengambil perhatian serius mematuhi semua peraturan e-hailing,” ujarnya.