Malaysia Dateline

Pemandu e-hailing dakwa masih keliru arahan mengambil lesen PSV

Kementerian Pengangkutan (MOT) memaklumkan, semua pemandu e-hailing diwajibkan untuk memiliki lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) lengkap dengan perlindungan insurans berkuat kuasa 12 Julai ini.

Sehubungan arahan pihak MOT itu, baru-baru ini Malaysia Dateline melakukan tinjauan dan mendapati, pemandu e-hailing masih lagi keliru bagaimana memohon lesen PSV berkenaan, selain turut meluahkan kekangan dihadapi mereka.

Pemandu Grab, Mohd Dzul Affendi, 39,

Pemandu Grab, Mohd Dzul Affendi, 39, mendakwa kebanyakan pemandu e-hailing belum bersedia untuk memohon lesen PSV berkenaan kerana arahan yang dikeluarkan pihak MOT kepada mereka, masih belum jelas.

“Penyampaian maklumat antara Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan pemandu e-hailing, tidak dijalankan dengan berkesan.

“Sebagai contoh, ada sebuah syarikat e-hailing wujud dalam sebulan ini, syarikat itu cuba untuk membuat permohonan permit Pengendali E-hailing (AHO) tetapi pihak APAD sendiri gagal memberi jawapan tepat kepada wakil pihak berkenaan.

“Orang itu bagitahu nak berhubung dengan APAD pun susah. Kalau APAD sendiri pun gagal untuk sampaikan maklumat secara berkesan, macam mana pemandu dan AHO nak tahu mengenai lesen PSV tersebut.

“Masalah yang kami hadapi juga adalah kos yang perlu ditanggung oleh pemandu memandangkan lesen PSV sahaja dah dekat RM200 lebih, itu belum lagi Puspakom dan Permit Kenderaan E-Hailing (EVP).

“Rasanya untuk satu akaun EVP sahaja, pemandu terpaksa keluarkan kos antara RM500 ke RM800,” katanya ketika ditemui Malaysia Dateline, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Dzul memberi contoh EVP dan katanya, kebanyakan pemandu mengharapkan EVP itu diberikan secara tunggal iaitu boleh menjalankan pelbagai perkhidmatan e-hailing dengan menggunakan hanya satu permit.

“Tetapi sekarang ini, apa yang kita tahu ialah, satu EVP untuk satu aplikasi. Kalau kata kami ada empat atau lima aplikasi, kita kena dapatkan lima permit EVP dan ia juga memakan kos.

“Kedua, sekiranya pemandu kena ban, adakah pihak grab akan pulangkan pembayaran EVP tersebut? EVP itu maknanya benda untuk setahun.

“Jadi, kalau pemandu kena ban, EVP itu boleh digunakan oleh sesiapa. Kalau kata syarat begitu, kenapa pemandu kena tanggung bayaran EVP tersebut yang sepatutnya ditanggung oleh pihak syarikat.

“Mengenai insentif atau bantuan, setakat ini tiada bantuan daripada pihak kerajaan. Cuma bantuan daripada syarikat pengendali e-hailing iaitu Grab ada buat tawaran siapa yang buat lesen PSV dengan mereka dan lulus, pihak Grab akan tanggung semua kos,” katanya lagi.

Menteri MOT, Anthony Loke berkata, kerajaan sudah membuat keputusan untuk membenarkan e-hailing terus beroperasi, tetapi dalam kerangka undang-undang yang ditetapkan.

MOT juga menegaskan, keputusan melaksanakan peraturan ke atas pemandu dan kenderaan e-hailing bukan untuk menyusahkan mereka, sebaliknya menyelaraskan industri itu supaya menjadi perniagaan yang diiktiraf.