Malaysia Dateline

Pemandu e-hailing tidak akan ‘lompat’ kepada industri teksi

Sentimen pengguna mengenai imej industri teksi yang sudah tercalar dan belum pulih sepenuhnya, dilihat menjadi ‘tembok penghalang’ kepada pihak yang mahu menceburi perkhidmatan membawa penumpang menggunakan teksi.

Menyangkal dakwaan wujud sesetengah pemandu e-hailing akan beralih kepada perkhidmatan teksi, Presiden Persatuan Pemandu Grab Malaysia (GDMA) Arif Asyraf Ali menjelaskan, perkhidmatan teksi masih lagi tidak cukup bagus untuk menandingi perkhidmatan e-hailing.

Katanya, kekurangan perkhidmatan teksi boleh dilihat daripada segi pemandu, keadaan kereta yang digunakan dan juga sistem yang ada pada teksi itu sendiri.

Beliau menambah, sistem teksi tiada orang mengawalnya, berbeza dengan sistem e-hailing yang mempunyai petugas untuk mengawal sistem berkenaan walaupun tiada pihak memantau pemandu e-hailing tersebut.

“Sistem teksi berbeza dengan sistem e-hailing iaitu yang berdasarkan maklum balas daripada pemandu dan penumpang itu sendiri. Kalau seorang sahaja penumpang mengadu tentang pemandu, tak mungkin syarikat itu akan menggantung pemandu tersebut.

“Tetapi, kalau terlalu banyak laporan dibuat ke atas pemandu bermasalah, pemandu itu akan dikeluarkan daripada sistem e-hailing.

“Secara tidak langsung cara itu (menggantung dan keluar daripada sistem) akan mengurangkan masalah kepada penumpang. Sama juga dengan penumpang, kalau terlalu banyak pengaduan dibuat oleh pemandu terhadap penumpang, lama-kelamaan mereka (penumpang) akan dikeluarkan daripada sistem.

“Jadi dengan sistem e-hailing ini sahaja perkara tersebut boleh diatasi iaitu melalui situasi menang-menang (win-win) sebab wujudnya aplikasi yang mempunyai sistem penarafan (rating), pemantauan dan laporan yang mendisiplinkan kedua-dua belah pihak. Tak ramai pemandu yang suka dengan cat merah putih itu (teksi),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Malaysia Dateline, hari ini bagi mengulas dakwaan kononnya terdapat pemandu perkhidmatan e-hailing akan beralih arah kepada perkhidmatan teksi.

Pemandu e-hailing dikatakan beralih arah berikutan langkah kerajaan memutuskan untuk melaksana pengambilan lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) yang memerlukan pemandu menjalani latihan selama enam jam di pusat memandu.

Hari ini, kerajaan bersetuju memberi tempoh tambahan tiga bulan melalui pendekatan ‘soft landing’ dan mendidik kepada semua pemandu e-hailing yang masih belum mematuhi syarat ditetapkan untuk terus beroperasi.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata pihaknya melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengambil pendekatan penguatkuasaan berbentuk mendidik secara berperingkat kepada pemandu e-hailing.

Ketika ditanya faktor menyebabkan kerajaan memberi tempoh tambahan, Loke menjelaskan, pihaknya mengambil pendekatan praktikal apabila ramai pemandu e-hailing sedang menjalani proses PSV dan Permit Kenderaan E-hailing (Evp) yang sememangnya dijangka akan berlaku kerana melakukannya saat akhir.

Kementerian Pengangkutan juga menegaskan, keputusan melaksanakan peraturan ke atas pemandu dan kenderaan e-hailing bukan untuk menyusahkan mereka, sebaliknya menyelaraskan industri itu supaya menjadi perniagaan yang diiktiraf.