Pemandu halang ambulans ada masalah pendengaran, ini teguran isteri mangsa pada pelaku

Oleh WAN SITI AMINAH

Tular di media sosial baru-baru ini satu rakaman video memaparkan sebuah kereta jenis Perodua Kembara yang menghalang laluan ambulans ke hospital.

Membangkitkan kemarahan orang ramai, video berkenaan dikongsi seorang individu yang dipercayai kakitangan hospital menerusi akaun Facebook milik Jerry Rentap.

Akibat daripada sikap pentingkan diri pemandu itu, seorang pesakit telah meninggal dunia dalam perjalanan ke sebuah hospital di Sri Aman, Sarawak pada Jumaat lalu.


Dalam perkembangan terbaharu, individu dipercayai isteri mangsa telah memberikan respon terhadap permohonan maaf disampaikan oleh anak pemandu Perodua Kembara.

Menerusi hantaran di laman Facebook, Annie Andrew menerima maaf tersebut berikutan pemandu berkenaan dikatakan telah tidak sengaja menghalang ambulans.

Walau bagaimanapun, Annie dalam hantaran sama tampil memberi teguran kepada ahli keluarga pemandu Kembara yang mengalami masalah pendengaran kronik itu.

Annie berpendapat bahawa pemilik kenderaan yang menghalang ambulans itu tidak sepatutnya dibenarkan untuk memandu tanpa memakai alat bantuan pendengaran.

“Saya sebagai isteri mendiang telah menerima pemohonan maaf dari pihak keluarga pemandu. Tetapi ada beberapa perkara yang ingin saya tekankan. Seperti makluman anak kepada pemandu, bapa beliau mengalami masalah pendengaran kronik.

 “Masalah ini telah disahkan oleh doktor pakar pada 2017. Jadi, silalah pastikan bapa saudari tidak memandu lagi selepas ini. Kalau perlu memandu juga, pastikan bapa saudari memakai alat pendengaran terlebih dahulu.

“Keadaan ini amatlah membahayakan. Banyak perkara lain boleh terjadi. Janganlah tunggu kejadian sama berulang kali kedua dan berlaku kepada orang lain,” kata Annie Andrew memberikan peringatan.

Annie turut memberikan maklum balas terhadap komen yang mengatakan mendiang tetap akan meninggal jika ambulans tidak dihalang kerana jarak hospital masih jauh.

Merasa kecewa memandangkan anaknya yang masih kecil telah hilang kasih sayang ayah, komen tidak sensitif itu meninggalkan kesan mendalam kepada keluarganya.

“Keluarga saya mempunyai dua anak kecil. Berusia dua dan satu tahun. Setiap saat itu amat berharga buat saya dengan harapan anak-anak akan terus merasa kasih sayang bapa mereka.

“Anak-anak saya belum puas merasa kasih sayang dari bapa mereka dan masih belum boleh ingat kenangan manis apabila bersama. Berhati-hati dalam bertutur kata.” Ulasnya.

Baca juga: Rajin solat, wanita hadiahkan pakej umrah buat pekerja jaga ‘parking’