Pemandu kenderaan pengangkutan diseru carum Perkeso

Pemandu kenderaan pengangkutan diseru carum Perkeso

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar hari ini menyeru pemandu-pemandu kenderaan pengangkutan seperti, teksi, lori, bas dan kenderaan pengangkutan yang lain supaya mencarum dalam Perkeso.

Kata beliau, caruman tersebut bertujuan untuk memberikan perlindungan kepada diri pemandu dan juga untuk kebajikan masa depan keluarga mereka.

Jelas Mahfuz, caruman tersebut tidak memerlukan bayaran yang tinggi, caruman minimun adalah sebanyak RM13.10 sebulan atau RM157.20 setahun.

“Saya menyeru kepada pemandu-pemandu di luar sana marilah sama-sama mengambil langkah demi keselamatan diri dan juga demi masa depan keluarga,” kata Naib Presiden AMANAH itu.

Beliau berkata demikian dalam majlis penyerahan cek Faedah Orang Tanggungan kepada Salleh Abdul Manaf, waris pemandu Grab, Md Shanizam Salleh yang meninggal dunia ketika menunggu pelanggan di KLIA Oktober lalu, di PPR Pinggiran Bukit Jalil hari ini.

Waris pemandu berkenaan menerima cek Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2000 dan bayaran pencen Faedah Orang Tanggungan sebanyak RM558 sebulan.

Arwah mula mencarum bermula 15 Ogos lalu dengan jumlah caruman sebanyak RM19.40 sebulan atau RM232.80 setahun.

Menurut Perkeso, sehingga September 2019, seramai 56,396 pemandu teksi, kereta sewa, e-hailing dan bas telah mendaftar dengan SKSPS.